"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Pengakuan Sanusi bukti PN kemaruk kuasa'

N Faizal Ghazali

Kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor yang mengakui mereka sentiasa mencuba untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada disifatkan sebagai bukti gabungan itu kemaruk kuasa.

Malah Timbalan Ketua Penerangan Umno Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata PN sudah meraih kemenangan di empat negeri sepatutnya memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada masyarakat di negeri berkenaan.

"Rakyat sedang memerhati, jika nak tukar kerajaan tunggulah pilihan raya umum ke-16 (PRU16). Kita patut beri ruang kepada kerajaan Perpaduan untuk menjalankan tanggungjawab.

"Bersikaplah seperti seorang 'gentleman', jangan sibuk mahu 'tebuk atap'. Saya ingin mengingatkan PN supaya memberikan tumpuan kepada pentadbiran di empat negeri yang dimenangi mereka daripada sibuk mahu menumbangkan kerajaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Sanusi yang mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memang boleh ditumbangkan melalui proses demokrasi seperti yang dibenarkan dalam perlembagaan.

Merujuk kepada tindakan kerajaan menerima sokongan lima ahli parlimen PN baru-baru ini, Sanusi berkata, langkah tersebut digambarkan sebagai mengikut perlembagaan.

Justeru, katanya, tindakan PN menarik sokongan ahli parlimen dari BN dan PH juga boleh dianggap sama.

Sementara itu Noor Hariri berkata, tindakan PN yang terus-menerus mahu mengambil alih kerajaan membuktikan mereka sebenarnya kemaruk untuk kembali berkuasa selepas gagal pada PRU ke-15 lalu.

"Usaha seperti ini dibimbangi boleh mencetuskan ketidakstabilan politik sekali gus merugikan negara.

"Sampai bila kita nak hidup begini dengan keadaan suasana politik tidak stabil. Saya rasa rakyat sudah penat untuk berdepan dengan percaturan politik 'gila kuasa'.Saya sarankan PN supaya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat pada PRU-15.

"Sebagai pembangkang sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih tuntas dalam membina semula negara selepas pandemik Covid-19," katanya.

Tambahnya, matlamat utama kerajaan persekutuan untuk pembinaan semula negara itu amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

"Fokuslah kepada kerja, jangan asyik mahu berpolitik. Rakyat Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis memberikan kemenangan besar kepada PN, jadi bekerjalah untuk masyarakat," tegasnya.

Tiada ulasan: