"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dituduh seleweng dana NGO, Shamsul Iskandar buat laporan polis

Bernama

BUKIT MERTAJAM: Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis terhadap Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard kerana mengaitkan dirinya dengan penyelewengan dana badan bukan kerajaan.

Ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Seberang Jaya, Shamsul Iskandar berkata dakwaan yang dibuat menerusi hantaran di laman Facebook semalam itu langsung tidak berasas, tidak disokong sebarang bukti, berniat jahat dan mahu mencemarkan nama baik Pejabat Perdana Menteri.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan tohmahan jahat yang telah dibuat ke atas diri saya dan Pejabat Perdana Menteri. Saya telah berbincang dengan peguam saya dan hadir membuat laporan polis hari ini serta meminta pihak berkuasa jalankan siasatan.

“Kita alu-alukan sebarang pandangan dan kritikan, namun ia tidak boleh dibuat dalam bentuk cemuhan dan juga fitnah serta tuduhan tidak berasas, saya harap pihak bertanggungjawab boleh jalankan siasatan dan segera mengambil tindakan berikutan apa yang diceritakan itu tidak mempunyai sebarang asas, dokumen dan ia hanya sekadar rekaan untuk memburukkan imej saya,” katanya kepada pemberita.

Shamsul Iskandar berkata beliau turut membuat laporan secara dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung dakwaan tersebut.

Beliau berkata tindakan perundangan menghantar notis tuntutan saman juga sedang dilakukan.

Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati seharusnya mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa dan tidak membuat hantaran di media sosial yang hanya mengundang keresahan rakyat, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Tengah Tan Cheng San ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan itu.

Menurut Tan kes diserahkan kepada IPD Putrajaya kerana kes direkodkan di sana.

Tiada ulasan: