Bekas MB Kelantan pun pernah makan di restoran Cina tak halal…
SITI NUR ZAWANI
Sehari dua ini kecoh di media sosial selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersantap asam pedas di sebuah restoran di Johor Bahru.
Sehari selepas keberangkatan baginda ke restoran tersebut, ia terus mendapat perhatian ramai sehinggakan sekumpulan pihak mengambil kesempatan membangkitkan isu status halal restoran berkenaan.
Namun, beberapa pihak menjelaskan pihak istana sendiri pasti sudah mengambil langkah berjaga-jaga dan sudah ke restoran terbabit untuk mengambil sampel makanan sebelum Sultan Ibrahim mencemar duli ke sana.
Menurut perkongsian seorang individu, persediaan di belakang tabir apabila sosok terpenting negara di ruang awam amatlah diteliti di mana semua agensi penting akan terlibat untuk memastikan keselamatan tempat dan makanan yang bakal dihidangkan.
Semua menu yang dihidangkan akan diambil sampel oleh Jabatan Kesihatan dan dibawa ke makmal, manakala pihak istana akan bekerjasama rapat untuk memastikan aspek halalan toyyiban.
“Kalau anda beranggapan YDPA, TMJ dan PM tu tiba-tiba sahaja buat keputusan nak pergi makan di situ tanpa perancangan atau koordinasi awal, sesungguhnya anda adalah seorang yang sangat naif dan dungu,” kata individu itu.
Berikutan isu ini masih panas, tular pula gambar bekas Menteri Besar Kelantan yang menikmati sarapan di sebuah restoran Cina yang didakwa tidak mempunyai sijil halal.
Gambar pada tahun 2020 itu memaparkan Datuk Ahmad Yaakob bersarapan di sebuah restoran bernama Kedai Kopi Khuan Heon Yan di Bandar Kota Bharu.
Bagaimanapun penyokong pembangkang mempertahankan perkara itu, mengatakan kedai itu walaupun tiada sijil halal tetapi hanya menyediakan minuman kopi dan roti bakar.
Justeru ramai yang mempersoal adakah hukum halal haram berubah-ubah mengikut siapa pemimpinnya. Jika ia adalah Pas, maka halal untuknya, dan haram pula untuk orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan