Mahdzir Ibrahim
Sekiranya Hamzah Zainudin dipilih oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PN sebagai Pengerusi PN menggantikan Muhyiddin, dia mungkin akan menghadapi tentangan atau kekangan daripada segelintir pimpinan Bersatu. Tentangan ini akhirnya boleh berkembang menjadi satu bentuk ‘pemulauan’ terhadap Hamzah di dalam parti.
Keadaan ini berpunca daripada kempen-kempen yang dijalankan di kalangan penyokong Muhyiddin, sama ada secara senyap atau terbuka, yang berpotensi mempengaruhi persepsi terhadap kepimpinannya. Kempen-kempen ini mungkin bukan bertujuan untuk mengembalikan Muhyiddin, tetapi lebih tertumpu kepada usaha ‘pelecehan’ terhadap Hamzah agar dia dilihat tidak mendapat dukungan penuh daripada partinya sendiri.
Walaupun kempen ini tidak menjejaskan imej Hamzah di kalangan parti PAS, tetapi sekali lagi, mesej yang cuba disampaikan ialah Hamzah tidak didukung oleh Presiden Bersatu dan kemnya sendiri.
Selain daripada kempen-kempen di kalangan ‘penjilat’ (pinjam istilah Chegubard) ini, terdapat juga ulasan yang memberi kredit kepada Muhyiddin di kalangan seteru politik, termasuk mereka yang bergelar penganalisis.
Ada yang menyatakan Muhyiddin cukup berkuasa hanya dengan satu kata atau satu ayat, serta pelbagai penilaian lain yang mengangkat pengaruhnya. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik, kerana musuh politik tahu bila dan bagaimana Muhyiddin boleh dimanfaatkan, khususnya ketika dia sedang berada dalam keadaan lemah.
Pandangan-pandangan ini sebenarnya turut menonjolkan selera politik mereka dengan membina satu ilusi kepada penyokong Muhyiddin. Tujuannya ialah agar lawan mereka, iaitu Bersatu, terus dipimpin oleh seorang ketua yang lemah.
Sebelum ini, saya lama dalam DAP, sedikit sebanyak saya tahu betapa buruknya imej Muhyiddin di dalam parti itu. Bagi saya, mereka hanya akan gembira sekiranya Muhyiddin kekal sebagai pembangkang dan terus memimpin pembangkang, kerana keadaan itu memudahkan strategi politik mereka.
Selain itu, ada lagi senario lain yang boleh berlaku iaitu Hamzah dipecat daripada Bersatu atas pelbagai alasan.
Ini mungkin satu-satunya jalan untuk menyekat Hamzah daripada menjadi Pengerusi PN. Namun, kita tidak tahu adakah Muhyiddin mempunyai keberanian untuk memecat Hamzah.
Daripada bacaan politik, Muhyiddin tiada pilihan lain kerana dia telah tersepit dengan percaturan sendiri. Hari ini, kemaraan Hamzah tidak lagi boleh disekat, kecuali dengan memecat keahliannya daripada parti.
Dengan memecat Hamzah, Muhyiddin boleh kembali mengawal Bersatu dan sekaligus melemahkan PAS dan kembali memimpin PN. Jika tidak, Hamzah akan menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi PN untuk memperkukuh kerjasama dikalangan parti-parti pembangkang dan mengemudi keseluruhan jentera ke arah PRU16.
Hal ini pastinya menakutkan Muhyiddin dan ‘penjilatnya’ (pinjam istillah Chegubard) kerana dia adalah ‘poster boy’ yang sepatutnya memimpin pembangkang dan menjadi PM. Tanpa kedudukan strategik ini, impian Muhyiddin untuk kembali menjadi PM akan berkecai.
Sekiranya Pengerusi PN dipilih di kalangan pimpinan PAS, Hamzah mungkin tetap akan disingkirkan kerana dia dilihat mengambil sikap neutral ketika Muhyiddin meletakkan jawatan Pengerusi PN. Hamzah tidak bersolidariti seperti mana Azmin Ali, Ahmad Faizal Azumu dan Radzi Jidin.
Sikap Hamzah ini jelas menunjukkan dia mempunyai pendirian tersendiri berbanding tunduk kepada Muhyiddin sepertimana Azmin, Faizal dan Radzi Jidin.
Situasi ini wujud bukan kerana kekuatan pihak lain, tetapi akibat percaturan Muhyiddin sendiri. Sejak awal, pelbagai nasihat dan amaran telah disuarakan oleh banyak pihak, namun semuanya diabaikan. Hari ini, dia berhadapan dengan akibat daripada pilihan-pilihan politik yang dibuatnya sendiri.
Hakikatnya, Muhyiddin kini dalam keadaan tersepit. Setiap jalan yang dipilih membawa risiko besar, sama ada kehilangan pengaruh dalam Bersatu, kehilangan kawalan ke atas PN, atau mempercepatkan kemunculan kepimpinan alternatif yang lebih berfungsi dan diterima sekutu.
Dalam keadaan ini, persoalan sebenar bukan lagi sama ada Hamzah boleh disekat atau tidak, tetapi berapa besar harga politik yang sanggup dibayar oleh Muhyiddin untuk terus bertahan.
Dan seperti lazimnya dalam politik, apabila pilihan semakin sempit, kesilapan kecil mampu membawa kesan yang jauh lebih besar daripada yang dijangka.
MAHDZIR IBRAHIM merupakan ahli Bersatu Bahagian Bangi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan