Mohamad Fadli
PETALING JAYA: PAS kekal dengan pendirian menolak menyertai barisan exco Perlis walaupun Menteri Besar Abu Bakar Hamzah mempelawa Adun parti itu.
Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata arahan sudah dikeluarkan kepada semua Adun PAS Perlis dan mereka diminta berpegang teguh kepada pendirian parti.
“Parti dah buat keputusan dan arahan kepada semua Adun PAS di Perlis.
“Kita tetap dengan keputusan. PAS ambil tindakan kepada yang menandatangani akuan berkanun (SD), takkan kita pula nak sokong mereka yang tandatangan SD menjatuhkan kepimpinan PAS,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Abu Bakar yang tetap mempelawa Adun PAS menyertai exco bakal dibentuknya, walaupun parti itu mengarahkan wakil rakyatnya tidak berbuat demikian.
Katanya, surat pelawaan dihantar kepada Presiden PAS, Hadi Awang, kelmarin, susulan hubungan baik dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, barisan exconya kekal empat Adun Bersatu setakat ini dan mereka dijangka mengangkat sumpah di Istana Arau esok.
Pada 30 Dis lalu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata parti itu memutuskan tidak menganggotai exco baharu akan dibentuk Abu Bakar.
Beliau berkata, semua exco PAS di negeri itu juga akan melepaskan jawatan sebagai tanda solidariti terhadap peletakan jawatan Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis pada 25 Dis lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan