"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis bantuan baru kahwin dituduh rogol anak kenalan

Alias Abd Rani
Anggota polis mengiringi Dharmendrakumar yang dituduh merogol remaja bawah umur di Batu Pahat. Foto NSTP
MUAR: Anggota polis bantuan yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana didakwa merogol remaja perempuan bawah umur yang juga anak kenalannya, Mac tahun lalu.

Tertuduh, Dharmendrakumar M Raja, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga pelajar berusia 17 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat pada jam 3 petang, Mac tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan, tertuduh sudah lama mengenali mangsa memandangkan lelaki itu adalah rakan karib ibunya sejak di bangku sekolah.

Bagaimanapun, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa ketika ibunya tiada di rumah. Tertuduh kemudiannya mendirikan rumah tangga pada November lalu.

Mangsa memberitahu, dia juga diugut tertuduh supaya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Ezzati Ahmad Salam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Mac depan untuk serahan dokumen.

Tiada ulasan: