Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

BAYI lelaki cukup sifat ditemui di dalam tandas wanita di sebuah stesen minyak di Bongawan, Papar. FOTO Ihsan PDRM.
Papar: Bayi lelaki cukup sifat ditemukan di dalam tandas wanita sebuah stesen minyak di Bongawan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 21 tahun mengenai penemuan bayi lelaki di tandas wanita stesen minyak berkenaan.
Susulan laporan itu, sepasukan polis segera bergegas ke lokasi sebelum bayi terbabit dibawa ke Hospital Papar untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan lanjut mendapati wanita berusia 21 tahun itu disyaki ibu kepada bayi terbabit.
Katanya, wanita terbabit pada awalnya tampil membuat laporan kononnya menemui bayi itu di tandas stesen minyak berkenaan.
"Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan stesen minyak berkenaan menguatkan syak wanita terbabit mempunyai kaitan langsung dengan bayi itu.
"Bayi lelaki itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih di bawah pemantauan pihak hospital, manakala wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau menegaskan, pihak polis memandang serius kes berkenaan dan menekankan bahawa kebajikan serta keselamatan bayi adalah keutamaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan