"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lokman Noor Adam: ‘Akmal tipu, dah 2 kali langgar arahan Zahid’

Alfian Tahir

Lokman Noor Adam berkata Zahid Hamidi tidak sepatutnya beri 'lampu hijau' kepada Dr Akmal Saleh anjur konvensyen khas Pemuda Umno.
Lokman Noor Adam dakwa Dr Akmal Saleh pernah melanggar janji dibuat kepada Zahid Hamidi sebelum ini.
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam mendakwa Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh sudah dua kali melanggar arahan Presiden Zahid Hamidi.

Katanya, Zahid tidak sepatutnya memberi ‘lampu hijau’ kepada Akmal untuk menganjurkan konvensyen khas Pemuda Umno Sabtu lalu.

Lokman berkata, ini kerana Akmal pernah melanggar janji dibuat kepada Zahid berkaitan perhimpunan di Kepala Batas tahun lalu susulan insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik.

“Akmal sudah menipu, sepatutnya tiada keizinan yang perlu diberi kepada beliau untuk menganjurkan konvensyen itu,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, FMT melaporkan Umno menetapkan dua syarat ketika Akmal diberi kebenaran untuk menganjurkan konvensyen khas Pemuda Sabtu lalu.

Seorang pemimpin Umno enggan dinamakan berkata, syarat pertama ialah tidak membincangkan penarikan diri daripada kerajaan perpaduan. Syarat kedua tidak akan ada sebarang kritikan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sumber itu memberitahu hanya dengan berasaskan jaminan tersebut barulah Zahid bersetuju untuk program berkenaan diteruskan.

Mengulas lanjut, Lokman berkata Akmal sebelum ini pernah berjanji kepada presiden untuk tidak berhimpun di Kepala Batas.

“Presiden sendiri ucap terima kasih pada beliau kerana beliau tidak mahu teruskan. Tetapi beberapa hari kemudian beliau tetap hadir pada perhimpunan itu,” katanya.

Pada 10 Ogos tahun lalu, Akmal mengesahkan Pemuda Umno akan mengadakan kunjungan ke sebuah premis perniagaan di Kepala Batas susulan insiden memasang bendera terbalik oleh pemiliknya.

Bagaimanapun, pada 11 Ogos, sayap itu mengumumkan himpunan tersebut ditangguhkan atas sebab tidak dapat dielakkan.

Namun, pada 14 Ogos, Akmal bersama lebih 500 Pemuda Umno berhimpun di tapak pasar malam Kepala Batas sebelum berarak kira-kira 1.4km menuju sebuah kedai perkakasan di lokasi berdekatan yang dikaitkan insiden itu.

Sabtu lalu, ketika membuka konvensyen khas Pemuda Umno, Akmal mendakwa perhimpunan itu mendapat kelulusan Zahid. Akmal juga mendakwa Zahid memberitahunya bahawa beliau akan menyokong gesaan akar umbi untuk keluar daripada kerajaan perpaduan.

Akmal berkata demikian sebagai menjawab dakwaan beliau tidak mendapat restu Zahid untuk mengadakan konvensyen itu dan bertindak bertentangan kepimpinan parti.

Beliau dilaporkan berkata: “Saya ingin jelaskan — Zahid adalah orang pertama yang bersetuju dengan konvensyen ini. Saya beritahu presiden, kalau Umno tarik diri daripada kerajaan perpaduan, orang pertama akan kena adalah presiden.

“Jawapan beliau sangat jelas, jika itu permintaan akar umbi demi agama dan bangsa, beliau sanggup lawan habis-habisan.”

Tiada ulasan: