"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi anggap UMNO terlanjur mendakap DAP, tinggalkan Pas demi jawatan

Harapandaily

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa terdapat kalangan Umno yang terlanjur mendakap DAP dan meninggalkan parti diterajuinya itu kerana faktor jawatan.

Menerusi Minda Presiden hari ini bertajuk, “Melayu Islam layak memimpin masyarakat majmuk”, Hadi berkata, keadaan itu berlaku lantaran perbezaan pendekatan politik antara Pas dan UMNO.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang berkenaan menyeru orang Melayu, agar mengambil teladan daripada Rasulullah SAW dengan mengutamakan penyatuan bangsa yang kini berpecah.

“Kita wajib mengambil teladan daripada Rasulullah SAW ini dengan menyatukan kumpulan bangsa kita yang berpecah terutamanya, kerana perbezaan pendekatan politik bukannya perbezaan aqidah dan ideologi, khususnya antara perlembagaan Pas dengan perlembagaan UMNO.

“Malangnya, perbezaan pendekatan dijadikan sebab untuk berpecah sehingga ada kalangan UMNO yang terlanjur menganggap Pas lebih bahaya daripada DAP yang nyata ekstremnya, lalu mendakap DAP dan meninggalkan Pas kerana faktor sampingan dan jawatan.

“Inilah satu pendekatan yang salah dari segi agama kita,” kata bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu.

Mengukuhkan kedudukan
Malah, Hadi turut mendakwa penyertaan UMNO dalam kerjasama politik bersama DAP telah dimanfaatkan oleh parti itu untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam Kabinet.

“Benarnya kenyataan Allah apabila DAP dan kumpulan ekstremnya menjadikan penyertaan kalangan UMNO untuk membina kedudukan yang lebih kuat bagi mengekalkan kuasa politik mereka dalam Kabinet serta melakukan tindakan politik yang membahayakan kedudukan Melayu dan Islam,” tulis Hadi.

Dalam masa sama, peneraju Pas sejak tahun 2005 itu turut mengingatkan tentang prinsip kemaafan dalam Islam.

“Kemaafan dan keampunan bukan sahaja diberikan kepada bangsa Arab yang memeluk Islam, bahkan kepada kaum bukan Islam yang berjanji setia bersama kerajaan Islam.

“Oleh itu, keadaan ketegangan yang berlaku antara Pas, UMNO, Bersatu dan beberapa kumpulan, termasuk kumpulan bukan Islam pada masa ini adalah tidak sama dengan kezaliman yang berlaku terhadap Rasulullah SAW pada zamannya,” kata Abdul Hadi lagi.

Tiada ulasan: