"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cabaran Dr Sam sebagai pengerusi PN bermula selepas 9 Jan?

Amin Ishak

Jika dipilih Ahmad Samsuri Mokhtar perlu berusaha pulih hubungan PAS-Bersatu dan berdepan tekanan memimpin PN sebagai bukan presiden parti.

Media sosial hangat seketika semalam apabila gambar pertemuan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berlegar di dunia maya. Difahamkan gambar itu dirakam selepas Muhyiddin pulang dari luar negara.

Ketika berada di luar negara itulah bekas perdana menteri berkenaan mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) atau tarikh paling tepat pada 30 Dis 2025.

Ada membuat kesimpulan gambar itu memberi bayangan paling jelas mengenai calon pengganti Muhyiddin. Samsuri atau lebih dikenali dengan panggilan Dr Sam dikatakan menjadi pilihan utama PAS.

Presiden PAS Hadi Awang membayangkan dirinya ‘sudah uzur’ untuk memimpin PN yang turut dianggotai Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Ada sumber PN memberitahu FMT yang PAS sebenarnya telah mencalonkan dua nama iaitu Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Samsuri. Namun, Tuan Ibrahim dikatakan mahu difokuskan dalam usaha menawan pentadbiran Pahang pada PRU16.

Dr Sam juga dilihat calon sesuai jika mahu menarik sokongan bukan Melayu dan Islam. Imej teknokrat berpotensi membawa imej baharu kepada PAS dan PN. Tetapi yang mungkin dipersoalkan pengalamannya terhad di Terengganu.

Tuan Ibrahim pula pernah menganggotai Kabinet persekutuan dari 2020-2022. Namun, imejnya pula mungkin kekurangan ‘faktor wow’ menarik pengundi bukan Melayu dan Islam.

Bagaimanapun, cabaran melantik Samsuri atau Tuan Ibrahim ini mempunyai ‘kekangan’ sendiri kerana kedua-duanya tidak mengetuai PAS seperti dimahukan segelintir pimpinan PN.

Malah, ada dakwaan mengatakan ahli majlis tertinggi PN akan cadang supaya Hadi dilantik atas kapasiti presiden PAS. Selain itu, wujud juga cakap-cakap jika cadangan berkenaan tidak menjadi realiti, sewajarnya pimpinan lama dikekalkan.

Difahamkan, mesyuarat majlis tertinggi PN akan diadakan selepas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengadakan mesyuaratnya pada 9 Jan ini.

“Sebelum ini ada cadangan mesyuarat PN diadakan 15 Jan tetapi boleh jadi juga diawalkan selepas 9 Jan supaya jawatan pengerusi PN dapat diisi segera,” kata sumber dalaman PN.

Cabaran baiki hubungan Bersatu-PAS

Namun, sesiapa sahaja menjadi pengerusi PN termasuk Samsuri, cabarannya pasti berat. Sebelum mengatur strategi menawan PRU16, perkara pertama perlu dilakukannya adalah memperbaiki hubungan Bersatu-PAS.

Krisis politik di Perlis yang membabitkan pelantikan menteri besar membuka pekung dan suara hati pemimpin PAS terhadap Bersatu sehingga ada membangkitkan soal setia kawan dan pengkhianatan.

Kepedihan dan kekecewaan itu diluahkan selepas peralihan jawatan menteri besar Perlis daripada PAS kepada Bersatu walaupun PAS miliki kerusi terbanyak di DUN.

Malah, episod di utara tanah air turut membuka cakap-cakap yang mahu Umno dan PAS bergabung semula bawah Muafakat Nasional (MN) yang berkemungkinan besar tanpa Bersatu. Ini disebabkan keengganan Umno mahu bekerjasama dengan Bersatu.

Jadi, jika mahu ke medan perang, pengerusi PN baharu perlu merawat ‘luka’ dan menghilangkan ‘parut’ perseteruan akibat krisis di Perlis.

Pengerusi PN bukan ketua parti

Jika Samsuri dipilih pula, beliau bakal berdepan cabaran bagaimana untuk dirinya dihormati kerana statusnya sebagai bukan ketua parti seperti Hadi dan Muhyiddin.

Tanpa dihormati, bagaimana arahan atau nasihat diberikannya akan diikuti. Apakah Samsuri akhirnya bakal dikawal dan tidak mampu untuk membawa idea dan acuan kepemimpinan dalam PN.

Jadi, dalam situasi sekarang apabila Hadi enggan menjadi pengerusi PN, timbul persoalan sama ada krisis dalam gabungan pembangkang itu mampu dikawal atau melarat menjadi barah?

Apakah pengakhirannya menyebabkan PAS-Bersatu membawa haluan masing-masing? Atau semuanya menerima Samsuri menerajui PN sekali gus calon perdana menteri? Atau wakil Bersatu termasuk Muhyiddin kembali menerajui PN?

Perkembangan ini menarik untuk dinantikan apabila mesyuarat majlis tertinggi PN bersidang kelak.

Tiada ulasan: