Zikri Kamarulzaman
PAS kini memberi bayangan bahawa parti itu berminat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama Umno, walaupun sebelum ini terdapat saranan agar parti itu menerajui PN.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, antara pimpinan PAS yang menyambut baik saranan rakan sejawatnya daripada Umno, Dr Akmal Saleh mengenai penyatuan kedua-dua parti itu semalam.
"Umat ini akan kuat jika tidak berpecah.
"Politik mesti menyatukan, bukan memecahkan.
"Agenda penyatuan mengatasi agenda peribadi. Semoga ada cahaya yang bersinar. Tahniah sahabat! Kita buat kasi jadi!” kata Afnan dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim turut memuat naik kenyataan yang menyatakan keterujaan mereka dan membayangkan kemungkinan MN diwujudkan semula.
Keadaan itu membayangkan sokongan yang semakin meningkat agar parti Islam itu bukan sahaja menguasai PN, malah kembali bekerjasama dengan Umno melalui MN.
Namun, ini bukan kali pertama PAS cuba mengimbangi hubungan dengan Umno dan Bersatu serentak.
Benih MN mula disemai selepas Pilihan Raya Umum 2018, apabila PAS dan Umno - yang ketika itu berada di blok pembangkang buat pertama kali dalam sejarah - mula memberi laluan antara satu sama lain dalam pilihan raya kecil.
Pada awal 2019, kedua-dua parti itu mula berkempen untuk satu sama lain, dan pada September tahun itu, mereka memeterai piagam Muafakat Nasional.
Namun, keadaan mula berubah pada tahun 2020 apabila MN bergabung dengan Bersatu untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu, lalu membentuk pentadbiran PN yang diterajui oleh Muhyiddin Yassin.
Pada awalnya, Bersatu mahu menyertai MN, tetapi apabila rundingan keanggotaan gagal, parti itu memilih untuk menubuhkan PN sebagai gabungan rasmi, namun langkah tersebut ditolak oleh Umno.
Pada September berikutnya, PAS secara rasmi menyertai PN.
Walaupun PAS masih cuba mengekalkan MN, kerjasama itu pada hakikatnya sudah berkubur.
Dalam Pilihan Raya Negeri Melaka pada November 2021, PAS bertembung dengan Umno buat kali pertama sejak 2018 di tujuh kerusi, sekali gus menutup riwayat MN.
Walaupun terdapat usaha menghidupkan semula kerjasama itu, hal itu tidak menjadi kenyataan.
Pemimpin Umno yang sehaluan dengan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan mereka hanya bersedia berbuat demikian sekiranya Bersatu disingkirkan.
Masalah utama berpunca daripada pertindihan kawasan mengundi, apabila Umno dan Bersatu masing-masing enggan beralah.
Krisis politik di Perlis
Usaha menghidupkan MN timbul semula daripada Umno baru-baru ini berikutan krisis politik di Perlis yang menyaksikan Bersatu menyingkirkan menteri besar daripada PAS.
Ini menyebabkan PAS mengancam untuk keluar daripada PN dan bergerak bersendirian.
Keadaan bagaimanapun kembali reda apabila Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN, sekali gus membuka ruang kepada PAS mengambil alih kepimpinan gabungan itu.
Walaupun PAS sudah menyatakan dengan jelas hasrat untuk menerajui PN, parti itu bagaimanapun masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berpisah dengan Bersatu.
Pihak yang menyokong Zahid Hamidi juga masih ragu-ragu untuk bekerjasama semula dengan PAS kerana bimbang Umno akan "ditipu" atau "dikhianati" semula seperti sebelum ini.
Mereka juga tidak berminat berada dalam kedudukan di mana PAS menjadi “abang besar”, sementara Umno memiliki pilihan yang terhad kerana terpaksa bergantung pada Bersatu.
Pemimpin Bersatu sedar bahawa mereka akan berada di posisi kedua selepas PAS jika bekerjasama, justeru tidak mungkin mahu bekerjasama dengan Umno kerana berisiko kehilangan lebih banyak kuasa dan pengaruh.
Pemain yang lemah
Penganalisis politik dari Universiti Sunway, Wong Chin Huat, turut berkongsi pandangan yang sama.
“Jika PAS memperoleh kedua-duanya (PN dan MN), ini bermakna PAS akan mendapat kerusi-kerusi menang mudah, manakala Umno terpaksa berdepan dengan Bersatu - dengan andaian wujud kerjasama antara Umno dan PH - dan Bersatu pula perlu berdepan dengan Umno serta PH.
“PAS menjadi pemenang mutlak - dengan sekitar 25 hingga 30 peratus kerusi di Semenanjung serta jaminan tempat dalam kerajaan akan datang, kemungkinan besar sebagai peneraju -manakala Umno, Bersatu dan PH berebut baki 70 hingga 75 peratus kerusi di Semenanjung.
“Bersatu sebagai pemain paling lemah mungkin tidak mempunyai banyak pilihan. Tetapi mengapa Umno perlu menerima perjanjian yang begitu merugikan?” katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata, kedudukan Umno sebagai parti kedua selepas PAS turut menghancurkan impian parti Melayu itu untuk kembali dominan.
Sebaliknya, langkah kekal bersama PH memberi Umno peluang dalam gabungan itu dari segi jumlah kerusi jika ia mampu merampas cukup kerusi daripada PAS dan Bersatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan