Qistina Nadia Dzulqarnain
Bersatu memecat ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Saifuddin Abdullah, berkuat kuasa hari ini.
Menurut sepucuk surat Lembaga Tatatertib Bersatu bertarikh hari ini dan dialamatkan kepada Saifuddin, keputusan tersebut ditentukan dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.
Surat berkenaan menyatakan Saifuddin telah melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti namun tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Saifuddin mengesahkan penamatan keahliannya dalam Bersatu dan memaklumkan dia akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.
Sementara itu, Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia Harris Idaham Rashid dipetik Bernama mengesahkan pemecatan itu berkait kritikan Saifuddin terhadap Muhyiddin.
“Ya betul (pemecatan itu). (Ini kerana) Beliau sebelum ini pernah dalam platform terbuka mengkritik Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
“Beliau telah diberi peluang bagi membela diri dan mesyuarat Lembaga Disiplin yang bermesyuarat semalam telah memutuskan pemecatan beliau,” katanya.
Saifuddin dikatakan melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti namun Harris Idaham tidak memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan oleh ahli parlimen Indera Mahkota itu.
Pada Oktober tahun lalu, Saifuddin disingkirkan daripada jawatan pengerusi PN Pahang dikatakan susulan desakannya agar Muhyiddin berundur sebagai presiden Bersatu dan Azmin digugurkan daripada jawatan setiausaha agung parti.
Saifuddin antara ahli parlimen Bersatu secara terbuka menentang Muhyiddin.
Dua yang lain ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Saiful dipecat daripada Bersatu manakala keahlian Wan Ahmad Fayhsal digantung selama sepenggal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan