"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dituduh jadi ‘broker’ sain SD, anak mursyidul am PAS repot polis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Anak kepada mursyidul am PAS, Faiz Hashim buat laporan polis terhadap hantaran di Facebook yang menuduhnya ‘broker’ yang menjemput wakil rakyat menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menarik sokongan menyebabkan Ramli Shukri meletak jawatan sebagai menteri besar Perlis.

Katanya, hantaran dipercayai dibuat sebuah akaun palsu itu adalah berunsur fitnah, jahat dan berpotensi mengaibkan institusi diraja Perlis serta bertujuan menyerang beliau dan bapanya, Hashim Jasin.

“Kandungan tersebut menuduh saya sebagai ejen yang membawa Adun PAS melanggar arahan parti serta melakukan perbuatan khianat dalam menentukan jawatan menteri besar dan exco.

“Tuduhan-tuduhan tersebut adalah tidak berasas, bersifat fitnah serta berniat untuk mencemarkan nama baik saya dan keluarga,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Faiz juga percaya, pemilik akaun palsu itu mempunyai kaitan dengan beberapa individu lain yang memberikan komen ekstrem bagi mempertahankan kandungan hantaran tersebut.

Berikutan itu, Faiz memohon polis menjalankan siasatan terperinci terhadap hantaran tersebut dan menggesa tindakan segera memandangkan isu itu bukan sahaja mencemarkan reputasi individu, malah maruah institusi diraja Perlis.

Bulan lalu, Shukri yang juga Adun Sanglang daripada PAS meletak jawatan menteri besar Perlis selepas tiga tahun menggalas amanah itu. Beliau memberi alasan faktor kesihatan.

Peletakan jawatannya menyusuli tindakan lapan Adun Perikatan Nasional, termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap Ramli menerusi SD diserahkan kepada Raja Perlis.

Adun Beseri, Haziq Asyraf Dun kemudian mendedahkan wujud individu bertindak sebagai ‘broker’ menjemput wakil rakyat menandatangani SD berkenaan dan beliau antara Adun yang dijemput.

Haziq yang juga ketua Pemuda PAS Perlis mendakwa, beliau tidak hadir dan tidak terlibat selepas merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan PAS pusat dan negeri.

Namun, tiga wakil rakyat PAS menandatangani SD terbabit iaitu Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji). Presiden PAS Hadi Awang memaklumkan keahlian mereka telah terhenti.

Tiada ulasan: