"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai kanan JIM, isteri dan dua penguat kuasa disyaki terima rasuah bulanan RM20,000

Reza A Hamid
BYLINE_PHOTO-3-681x454
Pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia Melaka bersama isteri serta dua penguat kuasa di reman di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan perlindungan PATI.
MELAKA – Pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dan isteri serta dua lagi pegawai penguat kuasa direman enam hari selepas disyaki menerima rasuah bulanan untuk melindungi pekerja asing tanpa izin (PATI).

Permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Majistret Mahkamah Melaka, Sharda Shienha Mohd. Suleiman terhadap kesemua suspek berusia 30 hingga 50 tahun.

Menurut sumber, tiga daripada suspek iaitu pegawai kanan JIM bersama isteri serta seorang pegawai penguat kuasa dipercayai menerima wang suapan secara bulanan RM20,000 daripada majikan atau syarikat sekitar Melaka sejak 2021 hingga 2025.

“Perbuatan itu adalah sebagai balasan untuk melindungi premis terbabit serta tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan menggajikan PATI.

“Isteri pegawai kanan terbabit berusia 37 tahun disyaki bersubahat dalam kegiatan rasuah berkenaan termasuk membantu mengurus serta menerima wang suapan daripada majikan terlibat, ” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menurutnya, bayaran dipercayai dibuat secara tunai melalui serahan tangan dan juga melalui transaksi akaun bank.

Tambahnya, seorang lagi pegawai penguat kuasa turut direman kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang pengurus di sebuah restoran di Melaka keseluruhannya berjumlah RM1,950 sejak Januari hingga Julai tahun lalu.

“Kesemua suspek telah ditahan di pejabat SPRM Melaka antara pukul 11.50 pagi hingga 4.50 petang, semalam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, tangkapan kes itu adalah hasil kejayaan risikan dan operasi bersama Polis Diraja Malaysia. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: