Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

Mohd Alifudin melihat perkakas rumahnya termasuk buku sekolah dua anaknya yang hangus dalam kebakaran membabitkan rumah pusaka keluarganya di Kampung Jambu Merah, Melor. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Kota Bharu: "Selama ini kita bantu padam kebakaran rumah orang lain tapi apabila berlaku kepada diri sendiri dan gagal selamatkan rumah pusaka, memang berasa ralat," kata anggota bomba yang juga mangsa kebakaran rumah di Kampung Jambu Merah, Melor, di sini, Jumaat lalu.
Kejadian tengah hari Jumaat lalu menyebabkan rumah yang didiami Mohd Alifudin Ahmad, 37, bersama isteri dan empat anaknya hangus dan mereka tinggal sehelai sepinggang.
Mohd Alifudin yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Tumpat dekat sini, berkata, dia mengetahui rumahnya terbakar selepas pulang dari masjid selepas Solat Jumaat bersama dua anaknya berusia sembilan serta 12 tahun.
Katanya, ketika dalam perjalanan, dia melihat ramai orang berkumpul dan dari jauh ternampak api sedang marak di rumahnya sebelum dia terus berlari kerana teringat akan isteri serta dua anaknya yang masih kecil.
"Sebaik tiba, syukurlah mereka selamat dan dalam keadaan api sedang marak, saya menerpa masuk ke garaj untuk membawa keluar tiga motosikal kerana sebagai anggota bomba, saya tahu tahap mana kawasan mana boleh dimasuki.
"Bagaimanapun, rumah kami gagal diselamatkan dan jika saya ada ketika kejadian, Insya-Allah kebakaran mampu dielakkan tapi sudah takdir, kami reda sajalah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Bercerita lanjut, Mohd Alifudin berkata, ketika kejadian, isterinya, Nik Noor Fatihah Nik Man, 37, berada di dalam bilik bersama dua anak mereka yang berusia lima dan dua tahun sebelum terdengar beberapa letupan kecil dari ruang tamu.
Katanya, isterinya kemudian keluar untuk melihat keadaan sebelum mendapati api marak di kotak fius dan dalam keadaan panik, segera mendukung kedua-dua anak mereka keluar dari rumah.
"Isteri sempat mengambil sejumlah wang milik ibu mentua untuk urusan jual beli tanah yang disimpan di dalam bilik manakala wang tabung empat anak bernilai RM3,000 hangus," katanya.
Terdahulu mereka menerima kunjungan Pegawai Perhubungan Awam JBPM Kelantan El Taraf Mohd Zachariah yang hadir menyerahkan sumbangan dari Unit Kebajikan bomba serta derma kakitangan bomba di Kelantan.
El Taraf berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan penempatan kuarters bomba dan BBP terdekat iaitu di Ketereh untuk Mohd Alifudin manakala bantuan yang lain akan menyusul.
"Kami juga akan bantu membuat permohonan di bawah Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB), yang memperuntukkan sumbangan sehingga RM50,000 maksimum untuk anggota yang ditimpa bencana," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan