"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Memandu di bawah pengaruh alkohol, dua individu didenda RM26,500, dihukum penjara

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
FEADDIE Yap Tong Nei, dan Sharifah Mahani masing-masing dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Tawau atas kesalahan memandu dibawah pengaruh alkohol. FOTO Abdul Rahemang Taiming
FEADDIE Yap Tong Nei, dan Sharifah Mahani masing-masing dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Tawau atas kesalahan memandu dibawah pengaruh alkohol. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Tawau: Dua individu termasuk seorang ejen pelancongan dipenjara dan didenda keseluruhan RM26,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Feaddie Yap Tong Nei, 40, dan Sharifah Mahani Saidseh, 39, selepas kedua-duanya membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020.

Feaddie yang bekerja sebagai ejen pelancong dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM15,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandunya digantung selama dua tahun bermula dari tarikh sabitan hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memandu kereta jenis Audi A4 di bawah pengaruh alkohol di Jalan Kuhara, di sini, kira-kira jam 1.10 pagi pada 16 Mei lalu.

Hasil ujian darah mendapati kandungan alkohol dalam badannya adalah 85 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, melebihi had dibenarkan iaitu 50 mg per 100 ml darah.

Sementara itu, Sharifah yang bekerja sebagai kerani dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM11,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Lesen memandunya turut digantung selama dua tahun berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didapati memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di bawah pengaruh alkohol di Jalan Sim Hua Seng, di sini, kira-kira jam 1.30 pagi pada 26 April lalu.

Ujian darah mendapati kandungan alkohol dalam badannya mencecah 142 mg bagi setiap 100 ml darah iaitu 92 mg melebihi had ditetapkan.

Feaddie diwakili peguam Jhasseny P Kang manakala Sharifah tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee.

Tiada ulasan: