"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Juruukur sambilan mengaku tidak bersalah sebabkan 77 kucing mati, kebuluran

NURUL IZZATI ZAINI
Reo Jin, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!
PETALING JAYA – Seorang juruukur sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kematian 41 ekor kucing dan membiarkan 36 ekor lagi dalam keadaan kebuluran.

Tertuduh, Lee Reo Jin, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa menyebabkan 36 ekor kucing hidup dalam keadaan yang boleh menyebabkan haiwan berkenaan mengalami kesakitan akibat kebuluran di sebuah unit pangsapuri di Subang Jaya pada Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 29(1)(p) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 maksimum atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Reo Jin sebagai pemilik kucing didakwa menyebabkan 41 ekor haiwan itu yang tidak berupaya untuk mati di lokasi dan tempoh yang sama.

Dia didakwa mengikut Subseksyen 29(1)(r) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman sama iaitu denda antara RM20,000 hingga RM100,000 maksimum atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor Mohd. Sharif Sabran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd. Sharif menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan beserta seorang penjamin serta syarat tambahan pasport OKS perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, OKS memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan dirinya tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

Hakim Noor Ruzilawati kemudiannya membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan, berserta seorang penjamin warganegara serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Makhamah menetapkan 7 Ogos depan bagi sebutan kes dan pelantikan peguam.

Terdahulu, muka depan Kosmo! melaporkan peng­huni sebuah pangsapuri di ­Subang Jaya, dikejutkan dengan penemuan sebanyak 41 bangkai kucing yang mereput dalam kediaman seorang wanita.

Lebih memilukan, 31 daripada bangkai haiwan itu ditemukan dalam keadaan berbungkus dengan plastik dan disimpan di dalam peti sejuk beku, manakala 10 lagi bangkai bersepah di ruang tamu dan sangkar.

Kesemua kucing malang itu dipercayai mati akibat tidak diberikan makanan secukupnya, manakala 36 ekor lain ditemukan masih hidup di dalam sangkar, tetapi dalam keadaan kurus dan tidak bermaya.

Kejadian itu terbongkar selepas sepasukan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor melakukan serbuan ke sebuah kediaman kira-kira pukul 4 petang, 13 Mac lalu susulan aduan orang ramai yang tidak tahan dengan bau busuk dari unit berkenaan.- KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: