"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wayang orang politik: Hairan kenapa Pas masih bagi kerusi terbanyak walau tuduh Bersatu khianat?

SITI NUR ZAWANI
AMANAH menyatakan rasa hairan dengan tindakan Pas yang membenarkan Bersatu bertanding 16 kerusi di Johor di bawah Perikatan Nasional (PN), meskipun Pas sebelum ini mengemukakan pelbagai tuduhan serius terhadap rakan sekapalnya.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, ketika Pas mahu menamatkan kerjasama dengan Bersatu, pelbagai tuduhan dilemparkan antaranya mendakwa Bersatu mengkhianati Pas di Perlis, melanggar prinsip syariah dalam kerjasama politik dan tidak mempunyai kekuatan jentera yang sebenar.

Namun beliau hairan, mengapa Pas masih meminta ahli dan penyokong bekerja dan berkempen untuk memenangkan calon-calon Bersatu selepas semua tuduhan tersebut dilemparkan.

“Mengapa watikah calon-calon Bersatu masih ditandatangani oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas?

“Lebih pelik lagi, Pas diberikan 11 kerusi, MIPP diberikan 5 kerusi dan Parti Pejuang yang baru menyertai PN diberikan 1 kerusi. 

“Manakala Bersatu yang didakwa melanggar prinsip syariah dan merosakkan PN tetap menerima bahagian terbesar iaitu 16 kerusi.

“Ahli Pas dan rakyat Johor berhak bertanya adakah tuduhan Pas terhadap Bersatu benar-benar berasaskan prinsip? Atau sebenarnya ia hanya sebahagian daripada perebutan pengaruh dan kuasa dalam PN?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata, jika Pas benar-benar yakin bahawa Bersatu telah mengkhianati perjuangan dan melanggar prinsip syariah, tindakan yang paling konsisten ialah menyingkirkan Bersatu daripada PN atau sekurang-kurangnya tidak memberikan laluan kepada mereka bertanding atas tiket gabungan tersebut.

Sebaliknya apa yang berlaku hari ini menunjukkan Pas masih bergantung kepada Bersatu untuk menghadapi pilihan raya, walaupun pada masa yang sama terus menuduh parti itu dengan pelbagai dakwaan yang berat.

Beliau mempersoal, bagaimana sebuah gabungan yang saling menuduh, saling menyalahkan dan saling meragui antara satu sama lain mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mentadbir Johor dengan baik.

“Bagaimana sebuah gabungan yang gagal menyelesaikan krisis dalaman sendiri mahu menawarkan kestabilan kepada rakyat?

“Malangnya, apa yang sedang dipertontonkan oleh PN hari ini ialah gambaran sebuah gabungan yang semakin bercelaru, tidak sepakat dan gagal menjelaskan pendirian mereka sendiri kepada rakyat,” ujarnya.

Tiada ulasan: