FMT Reporters
SHAH ALAM: Remaja yang didakwa membunuh rakan sekolahnya di Bandar Utama tahun lepas pernah menyerang ibu kandung serta dua rakan sekelasnya sebelum kejadian tersebut, menurut laporan pakar psikiatri forensik.
Pakar perunding kanan psikiatri forensik Dr Ian Lloyd Anthony berkata, insiden-insiden tersebut berlaku ketika remaja terbabit, dinamakan sebagai L, menjalani sesi kaunseling di sekolah, yang disifatkan Anthony sebagai tidak berhasil.
Anthony berkata, remaja itu menolak ibunya sehingga terjatuh dan kepalanya terhantuk sewaktu wanita itu cuba memeriksa beg sekolahnya.
“Dia turut menyerang dua rakan sekelas kerana beranggapan mereka berniat mencederakannya,” kata Anthony menerusi laporan itu.
Laporan itu didedahkan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi yang menjelaskan sebab L dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh atas alasan tidak siuman.
Berdasarkan fakta kes yang dibentangkan sepanjang perbicaraan, L bersemuka dengan mangsa di salah sebuah kubikel tandas sekolah, namun remaja perempuan itu cuba melawan dan melarikan diri.
L kemudian menolaknya semula ke dalam lalu menikam mangsa. Jeritan mangsa didengari beberapa orang guru yang segera cuba menyelamatkannya.
Laporan psikiatri berkenaan tidak dicabar oleh pihak pendakwaan.
Hakim Adlin Abdul Majid menerima dapatan Anthony berhubung keadaan mental dan fikiran L sewaktu kejadian tersebut berlaku.
Anthony yang mendiagnosis L menghidap skizofrenia dengan ciri-ciri psikopatik dan sadistik berkata, penilaiannya melibatkan pemerhatian berterusan terhadap pesakit dalam wad selama kira-kira tiga bulan, disusuli siri pemeriksaan psikiatri secara berkala sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam penghakimannya, Adlin berkata, penilaian Anthony telah disemak silang dengan pelbagai sumber bebas, termasuk kertas tuduhan, pemerhatian jururawat, temu bual bersama keluarga tertuduh, lawatan serta sesi temu bual di sekolah, ujian psikologi, ujian EEG dan imbasan CT.
“Pada pandangan saya, laporan ini bukan sekadar pernyataan pendapat kosong semata-mata,” kata Adlin.
Beliau turut menyebut bahawa laporan Anthony langsung tidak dicabar oleh pihak pendakwaan, sekali gus menyaksikan dapatan pakar terbabit kekal utuh.
Adlin berkata, wajar untuk diambil kira bahawa pihak pendakwaan telah pun menerima laporan Anthony seawal Januari dan mempunyai masa yang mencukupi untuk mendapatkan serta mengemukakan keterangan pakar psikiatri sebagai sanggahan.
“Apabila pendapat pakar seperti laporan Anthony dipertikaikan, tindakan sewajarnya bagi pihak penentang adalah mendapatkan keterangan pakar bagi menyanggahnya.
“Namun, tiada pakar sedemikian dipanggil,” katanya.
“Pemeriksaan balas terhadap saksi, pada hemat saya, tidak cukup untuk dijadikan sanggahan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan