FMT Reporters
PETALING JAYA: Pertemuan Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim dan bekas anggota exco negeri bersama Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dibatalkan.
Memetik sumber, Sinar Harian melaporkan pertemuan dijadualkan pada 9 pagi itu dibatalkan atas faktor keselamatan.
Pertemuan itu pada asalnya bertujuan sebagai sesi suai kenal dan silaturahim antara Tunku Nadzaruddin, Ismail serta bekas anggota exco.
Turut dijangka hadir tokoh dikatakan sebagai Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Shahbandar Sungai Ujong.
Perkembangan itu berlaku ketika Negeri Sembilan berdepan krisis perlembagaan berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar serta kesahan barisan exco negeri.
Pada 17 Sept, Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak satu perisytiharan didakwa bertujuan menyingkirkan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai pemerintah negeri, serta pengumuman susulan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengesahkan perisytiharan berkenaan.
AGC berkata, perisytiharan itu tidak sah dan menteri besar serta anggota exco tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan pemerintah negeri.
Pada 20 Sept, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota exco atas alasan mereka melanggar sumpah jawatan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudian menghadap Tuanku Muhriz keesokannnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan