"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Krisis takhta Negeri Sembilan: Apa pendirian PAS?

Kalau keputusan sebulat suara, wakil Pas sebelah mana? AMK persoal pendirian Pas dalam krisis Negeri Sembilan
Harapandaily

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan mengapa Pas masih belum tampil menjelaskan peranan wakilnya dalam krisis politik dan institusi diraja yang masih berlarutan melanda Negeri Sembilan, sedangkan parti itu mempunyai wakil dalam pentadbiran negeri.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata, persoalan itu semakin mendesak selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan keputusan berhubung Surat Cara Proklamasi telah dibincangkan dan diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Exco.

Justeru, katanya, Pas perlu menjawab sama ada wakil parti itu turut bersama dalam keputusan tersebut atau mempunyai pendirian berbeza.

“Adakah wakil Pas turut menyokong keputusan itu? Jika menyokong, tampil dan pertahankannya.

“Jika membantah, nyatakan bila bantahan itu dibuat dan mengapa Menteri Besar mengumumkannya sebagai keputusan sebulat suara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Pas mempunyai seorang wakil dalam barisan Exco diterajui Ismail, iaitu Mohd Fairuz Mohd Isa yang merupakan ADUN Serting.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan itu memegang portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan.

Berdiam diri

Mengulas lanjut, Danish berkata, Pas tidak boleh sekadar berdiam diri memandangkan parti itu merupakan sebahagian daripada pentadbiran negeri ketika keputusan berkenaan dibuat.

Menurutnya, isu tersebut bukan lagi sekadar pertikaian politik biasa kerana ia membabitkan keputusan kerajaan negeri mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Jangan jadikan diam sebagai jalan keluar. Pas mesti jawab. Rakyat berhak tahu siapa yang membuat keputusan, siapa yang menyokongnya dan siapa yang perlu bertanggungjawab,” katanya.

Persoalan mengenai pendirian Pas timbul selepas Ismail pada 17 September lalu mengesahkan Surat Cara Proklamasi itu diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Exco dalam mesyuarat kerajaan negeri.

Bagaimanapun, pada hari sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan proklamasi bertarikh 19 April itu tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, selain menegaskan Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar.

Kerajaan negeri kemudiannya memaklumkan bahawa tiada tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi itu akan dibuat, selaras dengan pandangan AGC.

Kemelut berkenaan terus memuncak apabila Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan ahli-ahli Exco berkuat kuasa serta-merta pada 20 September, dengan kenyataan Istana menyebut keputusan itu dibuat selepas mereka didapati melanggar sumpah jawatan.

Danish berkata dalam keadaan tersebut, Pas perlu menyatakan secara terbuka apa sebenarnya pendirian wakilnya ketika keputusan Exco dibuat, khususnya kerana parti berkenaan sering bersuara mengenai kedaulatan institusi diraja.

“Apabila wakilnya berada dalam pentadbiran yang terlibat secara langsung dalam krisis ini, rakyat berhak mendengar pendirian Pas sendiri.

“Dalam keadaan penting ketika ini, diam bukan sebuah jawapan. Pas mesti jelaskan pendiriannya dan peranan wakilnya kepada rakyat Negeri Sembilan,” kata Danish lagi.

Tiada ulasan: