Harapandaily
DR ZULQARNAIN LUKMAN
Hari ini adalah hari yang bercampur baur perasaan bagi rakyat Malaysia. Bagi penyokong Umno, pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong kepada Datuk Seri Najib Razak adalah satu perkara yang membahagiakan.
Bagi mereka yang terkilan dengan perbuatan Najib Razak berkaitan 1MDB akan berasa perjuangan mereka menjatuhkan BN Umno pada tahun 2018 sebagai suatu tragedi yang tidak mungkin dilupakan.
Mereka berasa sepatutnya pesalah itu dihukum sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah.
Hari ini YDPA telah memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23/8/2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Beliau juga hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan jika syarat itu dilanggar, beliau akan dengan serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.
Per. 42 Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada YDPA untuk memberikan pengampunan.
Mahkamah Persekutuan dalam kes Public Prosecutor v. Soon Seng Sia Heng & 9 Other Cases [1979] 1 MLRA 384; [1979] 2 MLJ 170, menyatakan,
“When considering whether to confirm, commute, remit or pardon, His Majesty does not sit as a court, is entitled to take into consideration matters which courts bound by the law of evidence cannot take into account, and decides each case on grounds of public policy; such decisions are a matter solely for the executive. We cannot confirm or vary them; we have no jurisdiction to do so. The royal prerogative of mercy, as is recognised by its inclusion in Chapter 3 of Part IV of the Constitution, is an executive power as in Jamaica, Hinds v. The Queen [1976] 1 All ER 353 372. Criminal Application No. 12.”
Maksudnya, dalam hal pengampunan, YDPA bukanlah berfungsi sebagai mahkamah yang perlu mematuhi kehendak pembuktian undang-undang.
Terpulang kepada YDPA untuk menggunakan kuasanya secara eksekutif. Pengampunan ini dianggap sebagai kuasa budi bicara atas ehsan diraja (royal prerogative of mercy).
Sebagai rakyat Malaysia, kita akur terhadap kuasa YDPA di bawah Perlembagaan dan tidak mempertikaikannya.
Kuasa ini adalah kuasa mutlak YDPA yang baginda sendiri pun tidak terikat dengan nasihat Lembaga Pengampunan.
Mungkin kelak nanti orang akan membandingkan betapa beruntungnya menjadi banduan VVIP yang akrab dengan orang kayangan ketimbang dengan banduan pencuri milo di supermarket yang terpaksa meringkuk di penjara biasa.
Persepsi sebegini tidak dapat dielakkan. Mungkin ada juga yang menyuarakan apakah gunanya ada mahkamah jika seseorang itu dengan semudah itu dapat mengelak daripada hukuman penjara.
Hakikatnya, hal ini dibenarkan oleh Perlembagaan dan kuasa pengampunan ini tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
Terpulanglah kepada rakyat untuk menentukan hal ini kelak di dalam kotak peti undi.
Walaupun begitu, nampaknya pengampunan DS Najib Razak ini bukanlah satu pengampunan penuh. Ianya adalah pengampunan bersyarat.
Lagipun, syarat utama bagi mendapat tahanan rumah ini adalah Najib mestilah terlebih dahulu menjelaskan denda RM50 juta.
Kita berharap supaya syarat-syarat itu biarlah syarat yang ketat supaya nanti orang ramai tidak memandang rendah kepada institusi penjara.
Penjara sepatutnya menjadi tempat untuk menjadi pengajaran kepada pesalah supaya jenayah yang sama tidak diulangi.
Antara fungsi penjara adalah untuk menyekat kebebasan bergerak dan kebebasan untuk hidup seperti orang normal yang boleh berjumpa dengan kawan-kawan atau ahli keluarga.
Oleh itu, syarat tahanan kepada Najib mestilah sebanding dengan falsafah penjara itu sendiri. Najib hendaklah disekat kebebasannya daripada berjumpa dengan kawan-kawan.
Beliau mestilah disekat daripada berada di media sosial seperti membuat live dan sebagainya. Sebarang perjumpaan pula hendaklah hanya di kalangan ahli keluarga terdekat.
Najib juga tidak boleh membuat sebarang aktiviti politik atau memberikan sebarang komen terhadap perjalanan politik negara.
Biarlah beliau menghabiskan tempoh tahanan itu untuk pembangunan dirinya seperti menghabiskan pengajian PhD atau beribadat kepada Allah.
Selain itu, sudah pasti berita pengampunan bersyarat ini akan meraih publisiti antarabangsa. Ini kerana skandal 1MDB bukanlah calang-calang skandal.
Skandal ini berkait dengan institusi kewangan antarabangsa seperti JP Morgan.
Janganlah sampai berita pengampunan ini menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka atau lelucon masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia mengambil mudah hal isu sakau dan rasuah sehinggakan penyakau bertaraf antarabangsa yang melibatkan berbilion wang negara pun boleh mendapat tahanan rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan