FMT Reporters
PETALING JAYA: Nik Nazmi Nik Ahmad memberikan keterangan lebih tiga jam kepada pihak berkuasa berhubung siasatan kes khalwat dikaitkan dengannya.
Bekas menteri sumber asli dan kelestarian alam itu dilihat tiba di pekarangan pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Shah Alam pada 9.15 pagi tadi sebelum keluar pada 11.30 pagi.
Peguam Syarie, Muhammad Amirul Ashraf A Ghani, berkata anak guamnya kemudian kembali semula ke pejabat itu pada 12 tengah hari untuk menyambung keterangan.
Katanya, kehadiran bekas Ahli Parlimen Setiawangsa untuk melengkapkan siasatan bawah Seksyen 29E Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Lebih tiga jam beliau hadir memberi keterangan kepada pegawai penyiasat. Ketika ini adalah peringkat siasatan dan keterangan sudah diberikan, kemudian nanti kita tunggu maklum balas daripada Jabatan Pendakwa Syariah Selangor sama ada beliau akan dipertuduhkan atau tidak,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Nik Nazmi meninggalkan pekarangan pejabat Jais di Bangunan Sultan Idris Shah kira-kira 1.30 tengah hari.
Bagaimanapun, beliau enggan ditemui pemberita dan berlalu pergi menaiki sebuah kenderaan di laluan belakang lobi bangunan..
Sebelum ini, Nik Nazmi mengaku ditahan Jais dalam kes dua individu bukan mahram berdua-duaan di tempat tertutup di Petaling Jaya pada 15 Okt lalu.
Susulan itu, Nik Nazmi direhatkan daripada semua aktiviti rasmi Parti Bersama (Bersama) selama tiga bulan berkuat kuasa hingga 19 Jan 2027.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan