Abdul Rahemang Taiming

Tertuduh, lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan seksual terhadap anak jirannya yang berusia 10 tahun, tahun lalu. – Foto NSTP
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Filipina dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Suhailla Selag terhadap lelaki berusia 53 tahun itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa mulai tarikh sabitan hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sentuhan fizikal terhadap mangsa bagi tujuan seksual di sebuah pondok di FELDA Sahabat Desa Kencana, kira-kira jam 10 pagi pada 29 Julai tahun lalu.
Mangsa yang berusia 10 tahun ketika kejadian juga merupakan jiran tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Desa Kencana pada 29 Ogos tahun lalu selepas mengesyaki anak perempuannya menjadi mangsa perbuatan seksual oleh tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika prosiding merayu supaya hukumannya diringankan dengan alasan sudah lanjut usia, menyesali perbuatannya dan bertaubat.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh penahanan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh juga diperintahkan supaya dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan