V Anbalagan
PUTRAJAYA: Dua lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh seorang kenalan di sebuah ladang kelapa sawit di Johor hampir 11 tahun lalu gagal dalam rayuan terakhir mereka di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 30 tahun.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini menolak rayuan bekas pekerja kilang, L Gopu, 45, dan bekas pengendali jentera berat, V Suresh, 46, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan tahun lalu yang mengembalikan pertuduhan membunuh terhadap mereka.
Kedua-dua lelaki itu juga akan dikenakan 12 sebatan. Hukuman penjara mereka berkuat kuasa dari tarikh masing-masing ditangkap pada 24 dan 25 Sept 2015.
Wan Farid yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Ruzima Ghazali dan Azimah Omar berkata Mahkamah Rayuan betul apabila mengembalikan pertuduhan membunuh dan menjatuhkan hukuman berkenaan.
“Hakim perbicaraan terkhilaf apabila mengurangkan pertuduhan membunuh kepada kesalahan mematikan orang tanpa niat membunuh,” katanya ketika menolak rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu.
Beliau turut menyatakan pihak pendakwaan telah merayu terhadap keputusan hakim perbicaraan yang mengurangkan pertuduhan membunuh, manakala Gopu dan Suresh tidak memfailkan rayuan balas.
Mengenai fakta kes, ketua hakim negara berkata terdapat bukti mencukupi untuk mengekalkan pertuduhan membunuh itu, dengan mengambil kira kekuatan yang digunakan dan senjata yang terbabit.
Pada awal prosiding, peguam N Sivananthan yang mewakili Gopu membangkitkan perjalanan perbicaraan yang luar biasa kerana melibatkan empat hakim Mahkamah Tinggi berbeza.
Beliau berkata tiga hakim terlibat pada peringkat pendakwaan, dengan hakim terakhir memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri. Hakim keempat kemudian mengurangkan pertuduhan membunuh kepada kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Nabila Habib turut mewakili Gopu, manakala Anita Vijaya Rajah dan V Ramesh mewakili Suresh.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Salehuddin hadir bagi pihak pendakwaan.
Kedua-dua lelaki itu disabitkan kesalahan membunuh Aris Nakan, 41, di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung SC, Layang-Layang, Kluang, Johor, kira-kira 6.30 petang pada 13 Sept 2015.
Menurut fakta kes, pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasat menemui 42 kecederaan pada tubuh Aris. Pemeriksaan mengesahkan kecederaan itu berpunca daripada trauma akibat objek tumpul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan