"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banding Hadi, Sanusi, ‘elok’ lagi Samsuri

Ameer Fakhri

PETALING JAYA: Ahmad Samsuri Mokhtar yang menang PRK Kemaman, semalam, dilihat berupaya membentuk semula persepsi bukan Melayu terhadap PAS, kata penganalisis politik.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata menteri besar Terengganu itu dianggap “menyanggah sepenuhnya stereotaip pemimpin PAS” dan berpotensi diangkat sebagai calon perdana menteri daripada parti itu.

“Beliau lebih elok dan mengelak kontroversi berbanding pemimpin PAS lain. Anda tidak melihat beliau membuat kenyataan keterlaluan seperti Sanusi Nor (menteri besar Kedah) malah Abdul Hadi Awang (presiden PAS),” katanya.

Katanya, Samsuri yang pernah melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan dilihat “mampu bertutur dalam bahasa Inggeris” mungkin menjadi daya penarik kepada bukan Muslim.

Azmil berkata, Dewan Rakyat akan menjadi platform kepada Samsuri untuk lebih dikenali, terutama kepada rakyat di luar Terengganu, yang mana beliau menjadi Adun selama dua penggal.

Semalam, Samsuri mempertahankan Parlimen Kemaman selepas menumpaskan calon Barisan Nasional, Raja Affandi Raja Noor, dengan 37,220 undi majoriti. Beliau meraih 64,998 undi, manakala Raja Affandi, bekas jeneral bersara mendapat 27,778 undi.

Margin undi diperoleh lebih besar berbanding 27,179 undi majoriti dimenangi calon PAS, Che Alias Hamid, pada PRU15 Nov 2022. Kemenangan Alias dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya pada September lalu susulan rasuah pilihan raya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata keputusan PRK Kemaman termasuk PRN pada Ogos lalu, menunjukkan corak pengundian orang Melayu di Terengganu tidak berubah.

Dengan pengundi Melayu mewakili 98% jumlah keseluruhan pemilih di negeri itu, beliau berkata pengundi kekal dalam naratif Melayu Muslim. “PAS berjaya menambah undi majoriti walaupun jumlah keluar mengundi lebih rendah (65.76%),” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata kekalahan besar Umno bukan isyarat parti itu menuju penamat, malah parti itu perlu mencari ikhtiar memenangi semula sokongan pengundi Melayu sebelum PRU akan datang, yang mesti dilaksanakan selewat-lewatnya penghujung 2025.

Beliau berkata, pengundi tradisi Umno jelas tidak mengundi atau menukar sokongan kepada Perikatan Nasional.

“Berbanding apa diperkatakan Zahid Hamidi (presiden Umno) bahawa Kemaman bukan kubu kuat PAS, perasaan berpuas hati dengan prestasi PAS ketika ini berlaku di seluruh Terengganu. Sentimen ini berkembang ke Kedah, Kelantan, dan Perlis juga,” katanya.

Gempa bumi kuat 7.5 Richter landa Mindanao, Filipina

BERNAMA

Kuala Lumpur: Gempa bumi kuat berukuran 7.5 pada skala Richter melanda Mindanao, Filipina pada 10.37 malam tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa bumi dengan kedalaman 85 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 42 kilometer dari tenggara Gingoog City, Filipina.

Berdasarkan penilaian awal, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

Menurut MetMalaysia, gegar penghujung sederhana berukuran 5.5 pada skala Richter berlaku dengan kedalaman 105 kilometer pada jarak 57 kilometer tenggara dari Gingoog City pada 11 malam.

Bayi terbunuh ketika dalam susuan ibu, rumah dibedil zionis

Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
IBU mendakap bayinya yang sudah tidak bernyawa akibat serangan rejim zionis. FOTO tangkap layar video tular
IBU mendakap bayinya yang sudah tidak bernyawa akibat serangan rejim zionis. FOTO tangkap layar video tular
Kuala Lumpur: Belum pun sempat kenyang, bayi yang sedang disusukan ibunya di Gaza, Palestin ini, terkorban apabila tentera rejim Israel membedil rumah mereka, semalam.

Bayi lelaki yang dilahirkan kurang dua bulan itu antara korban terawal kekejaman terbaharu Israel yang menyasarkan rumah mereka dengan meriam kereta kebal tentera.

Dalam rakaman video menyentuh hati, ibu yang masih berpantang itu dilihat mendakap erat dan mencium jasad anak kecil yang lengkap berkafan itu berulang kali sambil merintih pilu ketika memberikan penghormatan terakhir.

Datuk bayi itu berkata, ketika kejadian cucu lelakinya sedang menyusu badan, namun dilihat tidak lagi bermaya sejurus selepas rumah mereka dibedil.

"Anak perempuan saya sedang menyusukan anak lelakinya, tiba-tiba rumah kami dibedil. Kami keluar melarikan diri bersamanya sebelum mendapati dia nyawa-nyawa ikan.

"Kami sempat membawanya ke dua hospital, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan," katanya dalam video dimuat naik Hani Abu Rezeq.

Kata warga emas itu, dia kesal apabila cucu lelakinya menjadi mangsa korban dalam siri serangan terbaharu Israel, sebaik sahaja tempoh gencatan senjata berakhir pagi semalam (waktu Palestin).

"Seperti yang kamu tengok, inilah (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu, dia bom generasi baharu.

"Netanyahu, kalau kamu betul-betul tentera sejati, kamu berdepan lawan sebenar jangan serang kanak-kanak, wanita dan orang tua," katanya sambil menunjukkan jasad cucunya itu di hadapan khalayak ramai.

Dalam pada itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa semua pihak melakukan apa sahaja untuk melindungi kanak-kanak di Gaza berikutan wilayah itu kini dianggap sebagai tempat paling berbahaya apatah lagi musim sejuk bakal tiba yang turut menjadi ancaman kepada golongan itu.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan di Gaza menganggarkan lebih 240 orang terkorban manakala lebih 650 penduduk cedera pada hari pertama serangan Israel selepas gencatan senjata berakhir, semalam.