"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pegawai kanan kecewa SPRM hanya mampu tangkap pesalah kecil lepas pesalah besar

Bahri tak rela berkhidmat untuk 'sarang labah-labah'

Bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin, mengesahkan beliau memilih meninggalkan agensi penguat kuasa itu lebih awal kerana kecewa.

Bercakap kepada Malaysiakini, Bahri menjelaskan, perjalanan dan kesan siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB mendorong beliau memilih bersara awal.

Lebih daripada itu Bahri yang pernah bersumpah dengan nama Allah apabila pegawainya ditahan polis berkata, beliau tidak lagi wajar berkhidmat dengan "undang-undang sarang labah-labah".

Ditanya apakah maksud kenyataan itu, Bahri menjelaskan, undang-undang labah-labah hanya memerangkap pesalah kecil, manakala pelaku yang lebih besar terlepas daripada tindakan.

"Terlalu banyak wang yag hilang. Saya tak patut berkhidmat dalam undang-undang sarang labah-labah," katanya.

Pagi tadi Malaysiakini melaporkan Bahri mengambil keputusan bersara lebih awal daripada SPRM walaupun masih boleh berkhidmat tiga tahun lagi.

Beliau yang sebelum ini mengetuai Bahagian Siasatan Khas (BOK) di SPRM menjadi tumpuan ketika pegawai agensi terbabit menyiasat SRC International yang ketika itu menjadi anak syarikat 1MDB.
Pernah dipindah serta-merta

Sejumlah RM42 juta wang dari SRC didakwa dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak selepas dipindahkan kepada dua syarikat berasingan.

Bagaimanapun perdana menteri mendakwa beliau tidak tahu menahu wang itu adalah dari SRC.

Selain beberapa pegawai BOK ditahan polis, Bahri, 58, juga diberikan diarahkan berpindah ke Jabatan Perdana Menteri melalui notis serta-merta.

Tindakan itu dianggap berpunca daripada kenyataan Bahri yang berikrar untuk mencari dalang di sebalik penahanan anggotanya "sehingga ke lubang cacing".

Satu majlis meraikan persaraan Bahri dan beberapa pegawai lain di SPRM diadakan Jumaat lalu namun beliau dilaporkan tidak menghadirinya.

BOK ditubuhkan pada 2010 untuk membolehkan SPRM menjalankan siasatan kes berprofil tinggi, terutama membabitkan rasuah bernilai lebih RM1 juta.
Akhir tahun lalu, enam pegawai kanan BOK yang terlibat secara langsung dalam siasatan SRC juga dilaporkan dipindahkan ke bahagian lain atau bertugas di peringkat negeri.

Malaysiakini pada 31 Disember 2016 seorang daripada mereka ialah orang nombor dua di BOK, Tan Kang Sai.

Dua daripada pegawai terbabit dipindahkan pada Oktober, manakala yang lain pada Disember lalu.
-malaysiakini

Amanah sedia sambut cabaran Pesuruhjaya PAS Selangor bertanding DUN Cempaka

Iskandar pertaruh Dun Chempaka bila ugut Amanah
MALAYSIA DATELINE
Amanah akan memikirkan secara serius untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri(Dun) Chempaka milik Datuk Iskandar Abdul Samad memandangkan Naib Presiden Pas itu semalam memberitahu pihaknya 'menunggu' untuk dicabar.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata Iskandar harus menerima akibat selepas mengamalkan politik 'mengugut' semata-mata mahu mempertahankan kerusi tradisi Pas.

"Kalau itu sikap Datuk Iskandar maka DUN Chempaka boleh menjadi satu ekperimen yang baik (untuk Amanah dan PAS bertembung).

"Selagi mana Pas tidak bersama dengan Pakatan Harapan dan bersikap mengugut begitu dan mengancam parti lain maka kita tidak ada jalan lain dan Dun Chempaka adalah merupakan satu contoh yang mana Datuk Iskandar boleh terima akibat daripada politik ugut mengugut ini," katanya seperti dilapor Antarapos hari ini.

Salahuddin berkata demikian mengulas kenyataan terbaru Iskandar bahawa kedua-dua parti itu perlu menanggung akibat jika Amanah tetap mahu meletakkan calon di kerusi tradisi milik Pas pada PRU14.

Malah tambah Iskandar, Pas sedia untuk meneroka kawasan baru jika Amanah membuat langkah pertama dengan mengusik kerusinya.

Iskandar berkata demikian sebagai respon kepada pengumuman Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad bahawa partinya berminat untuk bertanding di 40 kerusi pada pilihan raya akan datang termasuk milik PKR dan Pas.

Membalas kenyataan itu,Salahuddin berkata Amanah akan pastikan Dun Chempaka terlepas dari gengaman Pas.

"Mungkin percubaan (pertembungan tiga penjuru) pertama yang paling balik ialah di Dun Chempaka.

"Kita akan pastikan kita menang dan yakin menang di kawasan yang kita nak bertanding dan telah membuat persiapan dan perhitungan berdasarkan kepada sokongan pengundi yang kita yakin," ujarnya seperti dipetik.

Penutup 2016 beri malu besar kepada Mariah Carey

Penutup tahun 2016 memberi malu besar kepada Mariah Carey apabila penyanyi terkenal itu gagal menyanyi dengan baik pada acara Dick Clark’s Rockin’ Eve 2017 di Times Square New York yang turut disiarkan secara langsung pada Ahad lalu.

New York Post melaporkan Mariah, 46, gagal untuk mengikut rentak ketika lagu berjudulEmotions dimainkan ekoran masalah teknikal pada fon telinganya yang tidak berfungsi.

Mariah yang kelihatan panik di atas pentas sempat meminta pihak teknikal memperbaiki masalah berkenaan sehingga pada satu tahap penyanyi itu hanya berdiri kaku di atas pentas.

Dia itu kemudiannya cuba berinteraksi dengan penonton dan menjelaskan masalah dihadapinya.

“Selamat tahun baru semua! Saya tidak dapat mendengar dan saya cuba berikan yang terbaik buat anda semua,” katanya.

Selain Emotions, Mariah juga menyampaikan lagu We Belong Together pada acara tahunan itu.

Dalam pada itu, Mariah yang kelihatan berang tetap meneruskan persembahannya menerusi lagu We Belong Together dan nyanyiannya jelas secara ‘miming’.

Mariah secara tiba-tiba berhenti menyanyi walaupun suaranya masih berkumandang sebelum bertindak meninggalkan pentas meskipun persembahannya masih belum tamat.

“Jelas kelihatan dia sangat kecewa dengan apa yang berlaku,” ujar sumber.

Kegagalannya mengawal keadaan membuatkan peminat menghentam Mariah di Twitter dan menyifatkan persembahannya itu adalah penamat kariernya.

“Mariah sepatutnya belajar daripada Britney Spears bagaimana untuk menyanyi secara ‘miming’ dengan baik.

“Persembahan itu sangat memalukan dan sepatutnya dia cuba melakukan sesuatu untuk menyelamatkan keadaan,” kata netizen.

Malah ada yang menyifatkan persembahan itu sebagai ‘kematian’ terakhir sebelum berakhirnya tahun 2016.

“Kematian terakhir 2016…kerjaya Mariah Carey,” kata salah seorang peminatnya.

Dalam kenyataan segera kepada media berhubung perkara itu, pihak pengurusannya menjelaskan kejadian itu disebabkan oleh masalah teknikal yang tidak dijangka sehingga menggangu persembahan itu.

“Malangnya tiada apa yang boleh dilakukan oleh Mariah untuk meneruskan persembahan dalam keadaan itu,” kata kenyataan tersebut.
-kualalumpurpost