"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Omar Hasan nafi kandungan blog, keluar arahan

Mohd Sabri Said  

PERMATANG PAUH, 20 Mei (Hrkh)- Yang Dipertua PAS Permatang Pauh merangkap Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri (JPN), Omar Hasan menafikan telah mengeluarkan kenyataan melarang ahli PAS mengundi calon Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dr Mansor Othman pada pilihan raya kecil N12 Penanti pada 31 Mei ini.

Ujarnya, dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Permatang Pauh baru-baru ini tiada agenda perbincangan berkaitan isu tersebut dan beliau hairan bagaimana tiba-tiba kenyataanya ada dalam blog yang sengaja dicipta untuk memperkecilkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti, Mohamad Fairus Khairudin.

"Saya tidak tahu menahu tentang isu itu melainkan setelah diberitahu oleh rakan tengahari tadi.

Saya terus menghubungi rakan AJK adakah saya tercakap isu berkenaan mereka kata kita tidak pun bincang perkara jentera pilihanraya kecil Penanti, " tegasnya.

Menurut sumber blog berkenaan Omar berkata, bukan sahaja melarang ahli PAS tidak mengundi calon KeADILan malahan turut mengarahkan ahli PAS tidak keluar mengundi atau jika keluar mereka diminta tidak mengundi calon Pakatan Rakyat atau merosakan undi.

Sementara itu ketika berceramah bersama Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim tiga hari lalu, Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli menyeru semua jentera PAS berkampung di Penanti bermula 23 Me ini iaitu selepas hari penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jalan Mengkuang, Bukit Mertajam.

Sebelum itu juga Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat, Dato' Mustaffa Ali dan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man sepakat dalam kenyataan akhbar bahawa kerusi Penanti adalah milik KeADILan berikutan perjanjian yang termaktub dalam Majlis Presiden kesemua parti gabungan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: