"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Halang Bukan Islam, Perkasa Usah Memandai-Mandai

Nurshakira Buang
SHAH ALAM 31 Ogos:
Pengerusi Seketariat Himpunan Ulama Asia (Shura), Ustaz Ghani Shamsudin meminta Perkasa tidak sesekali mencabar kewibawaan dan kepakaran alim ulama dalam mentafsir kandungan al-Quran.

Cadangan Datuk Ibrahim Ali sebelum ini dianggap boleh menimbulkan kacau bilau dalam institusi keagamaan lantaran Presiden Perkasa itu bukan mahir dalam hal ehwal agama.

Perkasa semalam mencadangkan supaya menggubal undang-undang menghalang golongan bukan Islam memasuki kawasan masjid dan surau bertentangan dengan Fatwa Majlis Kebangsaan.
Mengikut fatwa yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Kebangsan Malaysia atau Jakim pada Mac lalu, orang bukan Islam boleh memasuki ruang solat dengan beberapa syarat tertentu.

"Kita umat Islam mesti menghargai pandangan pakar dan alim. Ayat al-Quran - kalau kita tidak tahu tanyalah kepada mereka yang pakar. Berdasarkan ayat-ayat tersebut, kita orang islam mesti menurut serta menghargai pandangan pakar.

"Jika majlis fatwa dan ulama di dunia ini tidak pula membuat ketetapan mengharamkan bukan Islam masuk masjid, malah Rasulullah juga menjemput wakil-wakil luar negara datang ketika baginda dalam masjid, adakah Perkasa hendak mendahului dan menganggap diri mereka lebih pakar dari alim ulama?" katanya.

Bercakap kepada TV Selangor, Ghani berkata Ibrahim Ali seharusnya memberi tumpuan kepada isu politik dan bukannya memandai-mandai membuat tafsiran agama sedangkan beliau tidak ada kelayakan.

"Itu yang lebih penting untuk kita tanggapi kerana ia mencabar kepakaran alim ulama dan memasuki bidang kepakaran orang lain dengan mencadangkan perkara yang sangat aneh pada pandangan pakar," katanya.

Bagi beliau, kenyataan terburu-buru Presiden Perkasa itu boleh mengacau-bilau institusi keagamaan di negara ini.

"Jika Perkasa melakukan sedemikian bermakna dia meruntuhkan kaedah yang diasaskan pakar sedangkan orang yang bijak pandai harus dihormati dan dihargai.
"Kalau Perkasa sudah berasa dia lebih perkasa dari segi kepakaran agama bermakna ia melampaui peranannya sebagai badan bukan kerajaan (NGO). Ini akan mengacaubilaukan agama itu sendiri. Jadi eloklah Perkasa membuat tuntutan berlandaskan kepakaran dan tidak memandai-mandai," katanya lagi.

Tiada ulasan: