"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hutang RM1.7 Bilion Punca Tarif Air Naik

ALOR STAR 4 OKT: Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu adalah penyebab utama kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak terpaksa menanggung beban hutang sebanyak RM1.7 bilion.

"RM1.7 bilion itu meliputi keseluruhan hutang yang ditanggung kerajaan negeri melalui projek air, perumahan dan projek di kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech, dan bukannya hutang projek bekalan air bersih," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di kediaman rasminya di sini hari ini.

Azizan mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam bahawa beliau cuba memutarbelitkan fakta untuk merasionalkan keputusan kerajaan negeri menaikkan tarif air sebanyak 27 peratus mulai Jumaat lepas.

Sebelum ini, beliau berkata kenaikan tarif air tersebut berpunca daripada penstrukturan semula industri air yang dilaksanakan kerajaan pusat pada 2006, bertujuan menyelesaikan pinjaman oleh kerajaan negeri berhubung bekalan air.

Pada sidang akhbar hari ini, Azizan berkata kenaikan tarif air tersebut juga perlu dilaksanakan kerana kerajaan negeri terpaksa membayar kepada dua syarikat pengendali rawatan air di negeri itu, Taliworks Sdn Bhd dan Air Utara Indah Sdn Bhd.

"Di Langkawi, kerajaan terpaksa membelanjakan RM39 juta setahun untuk membayar kepada Taliworks. Namun kerajaan negeri hanya memperoleh RM14 juta sahaja kutipan daripada pengguna, dan kerajaan terpaksa membayar sebanyak RM25 juta lagi bagi membiayai kos rawatan air yang dilakukan oleh syarikat berkenaan.

"Ia sama bagi Syarikat Air Utara Indah yang mengenakan caj sebanyak 18 sen bagi satu meter padu air, namun kerajaan negeri juga terpaksa menanggung kerugian sebanyak 48 peratus ekoran air tidak sampai kepada pengguna 100 peratus," katanya.

Beliau berkata ini disebabkan masalah paip yang menyalurkan air ke kediaman rosak, dan sedang diperbaiki oleh kontraktor terbabit.
-Bernama-

Tiada ulasan: