"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"Himpunan Baju Merah" - Akar Umbi Umno Nampak Lebih Cerdik

Abu Hassan Adam
Walau pun ternampak dengan jelas tujuan ‘tersirat’ mengapa ‘Himpunan Baju Merah’ diadakan namun jika diperincikan maka jelas pula bahawa perhimpunan sedemikian tidak akan memberikan apa-apa faedah dan manfaat samada kepada orang Melayu atau bangsa Malaysia secara umumnya. Sememangnya tidak jelas tujuan dan matlamat perhimpunan berkenaan diadakan.

Yang selalu diteriakkan oleh golongan tertentu bahawa perhimpunan ‘Himpunan Baju Merah’ yang akan diadakan pada 16 September 2015 nanti adalah sebagai ‘tindak balas’ perhimpunan Bersih 4 yang diadakan baru-baru ini yang telah amat berjaya menarik perhatian lebih kurang setengah juta rakyat Malaysia (dari semua kaum) yang menyertainya. Dan telah ‘difitnahkan’ oleh pihak-pihak tertentu bahawa Perhimpunan Bersih 4 itu adalah anjuran kaum Cina untuk ‘menghina’ pemimpin Melayu. Jika diteliti dan diperhalusi jelas bahawa tuduhan sedemikian amat menyimpang jauh darpada kenyataan yang berlaku pada 29 dan 30 Ogos yang lepas. Tanyalah siapa pun ( yang berfikiran waras) yang hadir pada hari berkenaan pasti akan menyanggah tuduhan dan anggapan yang difitnahkan itu.

Lantas ‘Himpunan Baju Merah’ atau pun nama barunya “Perhimpunan Rakyat Bersatu” yang akan diadakan pada 16 September 2015 adalah bertujuan untuk ‘menandingi’ dan menunjukkan ‘kekuatan’ dan ‘kehebatan’ perhimpunan yang dikatakan ‘kekuatan’ orang Melayu. Pada hakikatnya hanya segelintir orang Melayu sahaja, khususnya ahli UMNO (hanya segelintir juga) yang menyokong perhimpunan yang diadakan.

Walaupun tidak mendapat sokongan rakyat terbanyak, “Pehimpunan Baju Merah’ tidak mendapat tentangan daripada pemimpin negara khsuusnya Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sendiri yang merasakan tidak ada halangan bagi ahli UMNO untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

Yang agak menyedihkan ialah hasrat para peniaga di Jalan Petaling untuk menutup kedai mereka pada 16 September yang akan datang takut timbul keadaan yang tidak diingini ekoran daripada ‘Perhimpunan Baju Merah’ yang akan diadakan. Tindakan para peniaga demikian merupakan langkah bijak untuk mengelakkan sebarang kemungkinan perkara yang tidak diingini berlaku. Dan jika dilihat dari sudut yang lain maka jelas perhimpunan yang akan diadakan ini amat mengganggu perniagaan yang dijalankan berbanding dengan Perhimpunan Bersih 4 yang baru lalu yang sangat-sangat dialu-alukan oleh para peniaga di persekitaran Dataran Merdeka. Ada peniaga yang merasakan bahawa mereka mengalu-alukan perhimpunan sedemikian yang mendatangkan keuntungan berpuluh kali ganda daripada hari-hari biasa.

Jelas menunjukkan bahawa ‘Perhimpunan Baju Merah’ yang akan diadakan nanti mengganggu perniagaan di persekitaran dan pastinya menyusahkan rakyat terbanyak.

Aku tertarik juga dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh golongan akar umbi UMNO yang merasakan bahawa ‘Perhimpunan Baju Merah’ ini merupakan satu perhimpunan yang sia-sia tanpa mempunyai matlamat dan tujuan tertentu. Biar aku petik kenyataan seorang ahli Umno Kedah dan aktivis, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar yang mengatakan bahawa perhimpunan tersebut adalah sia-sia kerana tidak akan dapat mengubah nasib kaum Melayu dalam negara."Adakah selepas 16 September. Orang Melayu akan bertukar jadi pemain dan pemegang utama ekonomi negara?” Soalnya. (petikan “MALAYISAN INSIDER 12 September 2015 )

Beliau juga mempersoalkan tentang hasrat dan matlamat perjumpaan itu diadakan. Beliau merasakan bahawa perhimpunan sedemikian tentunya tidak mendatangkan faedah sekiranya tidak ada matlamat yang jelas. Sekiranya perhimpunan ini betul-betul memperjuangkan sesuatu isu yang membabitkan kepimpinan negara kini, maka sudah seharusnya perhimpunan ini mendesak agar pihak kepimpinan negara menyelesaikan segera isu IMDB dan isu RM 2.6 billion yang tertera dalam akaun peribadi DS Najib Tun Abdul Razak. Yang anihnya ‘Perhimpunan Baju Merah’ tidak langsung menyebut isu sedemikian sedangkan seluruh dunia mempersoal dan membincangkan isu sedemikian. Dengan demikian memberikan gambaran kepada penduduk dunia bahawa orang Melayu hanya memikirkan isu-isu remeh yang tidak langsung menyentuh persoalan bangsa dan negara, apatah lagi menyentuh persoalan yang berbentu global.

Bagi aku Datuk Seri Zaienal Abidin Omar telah membangkitkan satu isu yang cukup ‘pertinent’ apabila beliau mempersoalkan, "Adakah kaum Cina akan tunduk dan takut serta akan turut apa juga kemahuan Melayu? Tiada apa yang berubah kerana penoreh getah akan pulang menoreh pada 17 September dan seterusnya. Apa faedahnya?"

Kenyataan dari ahli akar umbi UMNO dari Kedah itu semacam disokong pula oleh ahli UMNO dari Selangor. Bagi Ahli Umno Cawangan Keliang, Hulu Selangor Moohamad Faizal Abdul Raub pula, perhimpunan yang menggunakan nama Melayu itu hanya memberikan imej buruk kepada kaum itu."Memang berhimpun hak rakyat Malaysia seperti mana Bersih 4, tetapi isunya di sini himpunan tersebut kononnya untuk mempertahankan maruah dan ketuanan Melayu. Kalau ikutkan situasi kini, Melayu Umnolah yang menjahanamkan bangsa sendiri," katanya kepada The Malaysian Insider.

Maknanya golongan UMNO peringkat akar umbi telah merasakan bahawa ‘Perhimpunan Baju Merah’ itu tidak mempunyai matlamat tertentu, walaupun ‘dihalalkan’ dalam sistem pemerintahan demokrasi. Mungkin ramai lagi ahli UMNO di seluruh negara yang berpandangan seperti yang dilahirkan oleh tokoh UMNO berkenaan. Dan menampakkan kecerdikan yang menyerlah dikalangan golongan UMNO akar umbi berbanding dengan segelintir ahli UMNO yang tergolong dari kalangan elit (konon!)

abuhassanadam
14 September 2015

Tiada ulasan: