"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Logo Parti Amanah Negara didakwa diciplak daripada logo stesen TV di India, ini jawapan SUA Amanah

Parti Amanah Negara dilancarkan semalam di Shah Alam dengan kehadiran lebih 3,000 orang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 September, 2015.
Parti Amanah Negara dilancarkan semalam di Shah Alam dengan kehadiran lebih 3,000 orang. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 17 September, 2015.

Selepas pelancaran gilang gemilang semalam, kini Parti Amanah Negara (Amanah) berdepan dengan masalah baru apabila logonya didakwa diciplak daripada logo stesen TV di India.

Serangan tentang logo Amanah diciplak daripada Imayan TV kini mula memenuhi laman sosial khasnya Facebook dan dibincangkan dengan hangat dalam kumpulan WhatsApp.

Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir berkata soal ciplak logo tidak berbangkit langsung kerana ia dicipta sendiri kumpulan pereka bentuk logo parti itu.

"Kami menerima pelbagai cadangan logo kami. Ada yang cadang pokok, payung dan sebagainya. Akhirnya kami cadang ia huruf 'A' yang menjadi pangkal kepada nama Amanah.

"Dari situ, beberapa rekaan logo dibentangkan kepada jawatankuasa pusat dan kami pilih logo ini," kata Anuar kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Anuar berkata, logo itu tidak ada implikasi undang-undang kerana ia hanya dilihat seiras dengan logo pada sebuah stesen TV di India.

"Saya yakin tidak ada implikasi undang-undang kerana daripada segi warnanya tidak sama, geografinya tidak sama, satu di Malaysia dan satu lagi di India, bahkan industri juga tidak sama, sana stesen TV, kami parti politik.

"Ia berkemungkinan berlaku secara kebetulan dan pihak kami mengambil maklum. Kami sangat menghargai pandangan serta komen orang ramai dan akan berbincang dengan pihak berkaitan," kata bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu.

Amanah dilancarkan semalam di pusat persidangan di Shah Alam. Lebih 3,000 perwakilan dan pemerhati hadir di majlis itu.

Amanah adalah nama baru kepada Parti Pekerja-Pekerja Malaysia yang diambil alih Gerakan Harapan Baru (GHB), sebuah kumpulan pecahan daripada PAS.

Nama parti, logo dan bendera parti itu kini sedang dikaji oleh Perdaftar Pertubuhan (RoS) selepas Amanah menyerahkan kepada mereka.

Sebelum ini, pegawai kanan Amanah sudah berjumpa dengan pegawai RoS untuk membincangkan isu ini sebelum majlis pelancaran semalam.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: