"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Taksub kaum umpama jahiliah, kata mufti Pulau Pinang

Himpunan 'baju merah' yang dijadualkan Rabu ini mendapat kritikan pelbagai pihak kerana slogan perkauman dan pilihan lokasi, iaitu di tengah-tengah kawasan Bukit Bintang yang majoritinya Cina.
.Islam melarang umatnya mengamalkan sikap taksub kepada bangsa dan kaum tertentu, kata Mufti Pulau Pinang Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor.

Salim berkata, tindakan itu boleh dianggap sebagai saki-baki kehidupan "jahiliah".

"Rasullah s.a.w. pernah bersabda bermaksud: 'Barang siapa menyeru kepada sikap taksub kepada bangsa atau kaum (assabiyyah), berperang di atas dasarnya atau mati di atasnya, maka sesungguhnya dia mati dalam jahiliyah'.

“Dalam konteks Malaysia, sikap taksub kepada bangsa atau kaum sepatutnya tidak lagi menjadi teras perjuangan. Sebaliknya mesti dipupuk semangat kewarganegaraan sebagai ganti," katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.

Pada 16 September ini, sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur digelar "Himpunan Melayu Bersatu" atau "himpunan baju merah".

Penganjur berkata perhimpunan itu sebagai bantahan kepada demonstrasi Bersih 4 hujung bulan lalu yang dihadiri majoriti Cina.

Menurut mufti Pulau Pinang, Islam juga melihat kepada kepelbagaian bangsa dan puak dengan pandangan yang rasional dan positif seperti tercatat dalam Al-Quran, Surah Al-Hujurat, ayat 13.

Dalam pada itu, katanya, orang Melayu beragama Islam seharusnya menunjukkan sikap yang baik kepada kaum dan agama lain.

"Daripada mengapikan perasaan benci kepada bukan Melayu, lebih baik tingkatkan aktiviti dakwah kepada mereka.

"Di samping itu, bangsa lain juga harus menghormati hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan. Mereka perlu berhati-hati dalam ucapan dan tindak tanduk supaya tidak menyinggung sensitiviti bangsa Melayu," katanya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: