"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Baju merah ganggu forum BERSIH di Bayan Baru

Forum BERSIH di Bayan Baru malam tadi terganggu selama kira-kira 30 minit ekoran kemunculan sekumpulan berbaju merah.

Sekumpulan kira-kira 50 orang, yang diketuai oleh ketua penerangan Umno Bayan Baru, Ridzwan Bakar dan ketua Pemuda Umno negeri, Rafizal Abdul Rahim, masuk ke dalam dewan lebih satu jam selepas forum itu bermula.

Forum itu bermula pada pukul 8 malam di Dewan MBPP, Pasar Bayan Baru di Pulau Pinang.

Aktivis pelajar Adam Adli berhenti bercakap apabila kumpulan baju merah itu berjalan masuk pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Moderator forum itu, Ahli Parlimen PKR Bayan Baru Sim Tze Tzin, menyambut kehadiran kumpulan itu dengan berkata mereka dialu-alukan dan "kita boleh berkongsi pandangan kita".

Selepas Adam selesai bercakap, Sim menjemput Ridzwan untuk berucap di forum itu.

Pemimpin Umno itu mengambil mikrofon dan menimbulkan tentang masalah setinggan di kawasan Sim.

Dalam ucapannya, Ridzwan memberi jaminan kepada hadirin bahawa kumpulan itu tidak berada di situ untuk menimbulkan kekecohan tetapi untuk mendengar ucapan penceramah.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada peserta BERSIH supaya jangan lagi memijak gambar pemimpin negara seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Presiden PAS, Datil Seri Abdul Hadi Awang.

"Tiada siapa yang memijak gambar pemimpin anda semasa perhimpunan kami, jadi jangan lakukannya kepada pemimpin kami," tegasnya disambut laungan ' Allahuakbar' dari penyokongnya.

BERSIH telah menafikan ia terlibat dalam kejadian itu.

Selepas ucapan Ridzwan, kumpulan baju merah kemudiannya mengelilingi Adam (foto) dan menuntut untuk tahu mengapa dia menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak semasa satu perhimpunan di Kuala Lumpur beberapa tahun yang lalu.

Kumpulan itu juga mensasarkan jeritan mereka terhadap pembantu Sim dan seorang lagi pemimpin PKR kerana didakwa "memfitnah" perhimpunan baju merah dalam Facebook.

Anggota polis yang hadir di ceramah tersebut, campur tangan apabila keadaan menjadi tegang.

Sebelum kumpulan baju merah itu beredar, Sim menjemput Ridzwan dan Rafizal untuk bergambar bersamanya.

Forum itu disambung semula selepas kumpulan baju merah itu beredar dari tempat tersebut.

Penceramah di forum itu termasuk pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, pengurus BERSIH Mandeep Singh dan Fariz Musa dari Jingga 13.

Bercakap kepada pemberita selepas forum itu, Sim berkata beliau tidak akan membuat laporan polis kerana kumpulan itu tidak ganas.

Ditanya sama ada beliau berasa terancam dengan kejadian itu, Sim berkata "tidak", sambil menambah beliau akan terus berdialog dengan mereka.

Maria berkata, walaupun baju merah terus menimbulkan masalah kepada BERSIH atau membuat kekecohan semasa aktivitinya, acara itu mesti diteruskan.

"Kita mesti terus untuk berdialog dengan mereka, agar mereka memahami perjuangan kita," katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: