"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR tidak tahu apa-apa dan keliru tentang pakatan pembangkang!

Ahmad Mustapha Hassan
PKR sedang bermain permainan yang sangat bahaya, yang mungkin akan memusnahkan pakatan sepenuhnya ketika berdepan dengan Umno Baru untuk pilihanraya umum 2018. Ia cuba untuk memuaskan hati semua pihak dalam kem pembangkang. Dengan berbuat begini ia tidak akan memuaskan hati sesiapa, dan akan dibiarkan bersendirian untuk berjuang dalam pilihanraya nanti.
PAS tidak akan bekerjasama dengan PKR. Ini terbukti apabila PKR menerima dua ahli penting parti Islam itu masuk ke dalam partinya. Ia mahu bekerjasama dengan PAS, tetapi masih bersedia menerima mereka yang keluar daripada PAS. Perkara yang sukar diterima akal.

PKR mengatakan menerusi timbalan presiden Azmin Ali yang PKR mahu PAS berada dalam gabungan pakatan baru walaupun DAP dan Amanah menentang tindakan ini.

Azmin berkata, “Kita sudah lama membincangkan perkara ini dan mengambil kira pandangan dan maklumbalas yang kita terima dari ketua ulung, yang berkata PKR sentiasa memasukan semua orang.” Dalam kata lain Anwar mahukan PAS berada dalam pakatan baru ini.

PKR berada dalam kedudukan yang sukar. Salah seorang pemimpin berpengaruh PAS telah menyatakan yang mereka tidak akan bekerjasama dengan PKR sekiranya PKR berkerjasama dengan DAP dan Amanah.

PAS hanya mementingkan diri sendiri dan tidak pernah menerima konsep tentang apakah masa hadapan yang dikongsi bersama. Ia hanya bergantung kepada harapan mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini. Ini pastinya bertentangan dengan semangat dan asas pakatan pembangkang, sekularisme.

PKR perlu menyedari yang PAS dalam kekeliruan dan sedang cemas. Ia berusaha merapatkan diri dengan Umno Baru tetapi masih belum mendapat maklum balas yang baik dari parti itu. Umno Baru pula ketika ini sedang bergelut dengan pelbagai jenis skandal. Pemimpin-pemimpinnya sedang berdiri di atas tanah yang sedang retak menanti belah.

PKR sengaja enggan berdepan dengan realiti yang PAS adalah risiko kepada mana-mana gabungan pembangkang di masa hadapan.

PAS adalah Hadi dan Hadi ialah PAS. Itulah hakikatnya.
Ketika ini, kerajaan negeri Pakatan di Selangor diketuai oleh PKR dengan wakil rakyat Pakatan seramai 43 orang, daripada jumlah 56 orang wakil rakyat. Terdapat seorang wakil rakyat bebas dan Umno Baru mempunyai 12 buah kerusi.

Pecahan baru dewan undangan negeri Selangor pula seperti berikut; DAP 15, PAS 13, PKR 13, PPM (Amanah) dua dan seorang calon bebas. Sekiranya PAS meninggalkan kerajaan negeri, maka gabungan baru pakatan akan mempunyai 30 kerusi, menentang 13 kerusi wakil rakyat PAS dan 12 wakil rakyat Umno Baru yang berjumlah 25 orang dengan tambahan seorang wakil rakyat bebas.

Pakatan pembangkang baru masih mampu mentadbir Selangor. Mungkin PKR tidak pasti kesetiaan wakil rakyat sedia ada kini, tertanya-tanya sekiranya mana-mana mereka akan meninggalkan parti. Itulah satu-satunya sebab mengapa PKR bersungguh-sungguh benar mahu PAS terlibat sama dalam pakatan pembangkang yang baru.

Juga, Azmin berhutang budi kepada Hadi apabila dia meminta wakil rakyat PAS itu untuk menyokongnya dalam dewan undangan negeri tahun lepas, berikutan kekecohan langkah Kajang yang berlaku.

Pengalaman di Perak boleh dijadikan teladan yang baik.

Ketakutan kehilangan kuasa dan kewajipan untuk menghormati sokongan yang Hadi berikan kepada PKR dengan meminta semua wakil rakyat PAS menyokong Azmin, menyebabkan PKR berasa terhutang budi memasukan PAS sebagai salah satu rakan dalam pakatan pembangkang yang baru dibentuk.

Umno Baru dan PAS tidak akan beroleh kemenangan sekiranya pilihanraya negeri diadakan hari ini. Kedua-dua parti bergolak dengan masalah.

Umno Baru terus kekal kerana wang. Tanpanya ia tidak akan mampu meraih sokongan. Wang sentiasa menjadi talian hayat Umno Baru.

Pakatan baru perlu meninggalkan PAS sendiri, untuk memutuskan apa yang perlu parti itu lakukan.

Malang sekali tetapi PKR perlu berdepan realiti dan bertindak menurut harapan majoriti, DAP dan Amanah.

DAP dan Amanah boleh menjadi kuasa yang digeruni, dan malang sekali sekiranya PKR tidak mampu memutuskan siapa yang mahu dituruti.

Sudah sampai masanya semua parti dengan matlamat yang sama bekerjasama, membentuk strategi ampuh untuk menewaskan Umno Baru dalam pilihanraya akan datang.
-theantdaily-