Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

MAYAT lelaki ditemui di sebuah kedai makan, Pekan Lama Kuala Ketil, di Baling. FOTO tular.
Alor Setar: Seorang lelaki maut selepas ditetak 16 kali oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah kedai makan di Pekan Lama Kuala Ketil, di Baling, tengah malam tadi.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata Balai Polis Kuala Ketil menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.15 tengah malam.
Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
"Hasil pemeriksaan awal Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati mangsa mengalami kecederaan di kaki, tangan, lutut serta belakang leher.
"Sebanyak 16 kesan tetakan dikenal pasti termasuk kecederaan hampir putus akibat ditetak menggunakan parang.
"Hasil siasatan dan risikan yang dijalankan pihak polis mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada dendam dan perebutan kawasan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Adzli berkata, berdasarkan maklumat orang awam, empat lelaki bersenjatakan parang dilihat turun daripada Proton Persona sebelum mengejar dan menetak mangsa di lokasi kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan," katanya.
Beliau menggesa orang ramai membantu polis mencegah dan membanteras kegiatan jenayah dengan menyalurkan maklumat menerusi talian NG MERS 999 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan