"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ulama Pas harap Umno kalah PRN Melaka

FAZLI RADZI

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Mokhtar Senik berharap Umno tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Walaupun begitu, dia masih menyayangi gagasan Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan Umno yang dimeterai pada 14 pada 14 September 2019.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu juga berkata, kekalahan Umno dalam PRN Melaka perlu agar makna kepentingan agama, negara dan ummah benar-benar difahami.

“Kalau tanyakan saya, apakah saya sayangkan MN? Wallahi saya jawab saya sayangkan MN, kerana pembinaannya berteraskan roh persaudaraan Islam.

“Namun, dalam PRN Melaka, saya merasakan Umno perlu kalah untuk Umno benar-benar memahami erti persaudaraan dan kepentingan agama, negara dan ummah.

“Mudah-mudahan kekalahan Umno di Melaka akan banyak mengajar politik jujur dan bersih kepada Umno,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Pas akan bertembung dengan Umno di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka apabila meletakkan calon bertanding di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Walaupun bersama-sama Umno dalam gagasan MN, Pas dalam PRN Melaka memilih untuk membentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu.

Keputusan Pas meletakkan calon di DUN yang juga ditandingi Umno itu sekali gus akan menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru dengan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Mokhtar menyeru agar pengundi Pas ‘mengajar’ Umno tentang ilmu politik.

“Oleh itu, semua pengundi Pas perlu menjadi guru politik kepada Umno,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan: