"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

K'jaan bubar MPN diketuai Muhyiddin, tangguh pelantikan Ahmad Jazlan

Malaysiakini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin dibubarkan.

Anwar juga mendedahkan bahawa pelantikan semula bekas ahli parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakob, sebagai pengerusi Felcra telah ditangguhkan.

Bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat kabinet hari ini, perdana menteri berkata kerajaan sedang berusaha untuk mengurangkan jumlah agensi kerajaan yang mempunyai tugas bertindih.

Katanya, antara badan yang dianggap mempunyai pertindihan tugas ialah MPN.

"MPN telah dibatalkan (kerana) itu satu pertindihan (tugas).

"Jawatan itu diwujudkan bagi memenuhi keperluan ketika itu," katanya sebelum secara berseloroh bertanya kepada pemberita sama ada ia perlu diteruskan atau tidak.

MPN ditubuhkan oleh kerajaan dengan Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi badan itu pada Sept 2021.

Mesti berdasarkan kelayakan

Ia dibuat kira-kira sebulan selepas Naib Presiden Umno dipilih sebagai perdana menteri bagi menggantikan pemimpin tertinggi Bersatu dan PN itu.

Pelantikan itu dipercayai menjadi jalan tengah di antara Muhyiddin dan Bersatu selepas dia disingkirkan daripada jawatan perdana menteri.

Sementara itu ditanya mengenai status Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Anwar berkata ia sedang dikaji semula.

"Jika sesuatu perkara (tugas) itu boleh dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau polis, kita mahu kurangkan pertindihan, kerana setiap agensi yang bertindih akan menanggung kos yang tinggi," katanya.

Pada masa sama Anwar menegaskan, prinsip tadbir urus baik GIACC adalah sesuatu yang diterima kerajaan.

Mengenai pelantikan politik pula, Anwar berkata kedudukan Ahmad Jazlan yang diumum dipilih sebagai pengerusi Felcra ditangguhkan dan keputusan tersebut sudah disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada 17 Dis lalu Ahmad Zahid mengumumkan kerajaan melantik semula Ahmad Jazlan ke jawatan pengerusi agensi terbabit dan ia dibuat dua hari selepas Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengeluarkan arahan agar semua lantikan politik sebelum ini ditamatkan serta-merta.

Ahmad Jazlan dianggap salah seorang pengikut setia Ahmad Zahid dalam Umno.

Anwar menjelaskan, dia sebenarnya tidak menentang sepenuhnya pelantikan ahli politik dalam agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Saya tidak pernah kata mana-mana ahli politik tidak boleh terlibat dalam pengurusan (GLC).

"Bagaimanapun ini tertakluk kepada terma dan mereka mesti mempunyai kelayakan dalam bidang berkaitan.

"Mungkin ada beberapa pemimpin politik atau ahli parlimen yang ditugaskan (mengetuai agensi berkaitan) tetapi kami telah menetapkan bahawa ia mesti berdasarkan keupayaan profesional mereka, prestasi sebelum ini, dan pematuhan peraturan," katanya.

Tiada ulasan: