"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa yang bahaya dengan ajaran sesat Millah Abraham?

Ruwaida Md Zain

am@hmetro.com.my

Harian Metro pernah menyiarkan laporan 58 individu dihadapkan di mahkamah pada 2016 kerana terbabit  dengan ajaran Millah Abraham. 
Harian Metro pernah menyiarkan laporan 58 individu dihadapkan di mahkamah pada 2016 kerana terbabit dengan ajaran Millah Abraham.
Shah Alam: Setiap pengikut ajaran Millah Abraham perlu membayar wang untuk bertaubat, menuntut cerai ke atas pasangan yang tidak menyertai gerakan, menggunakan kelas al-Quran dalam talian bagi menarik pengikut baharu.

Itu sebahagian dari modus operandi dan strategi ajaran sesat Millah Abraham @ Ibrahim yang difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 September 2015.

Menurut kenyataan di Facebook rasmi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini, modus operandi ajaran Millah Abraham terbahagi kepada tiga iaitu indoktrinasi ahli, propaganda dan perkaderan ahli.

"Ajaran Millah Abraham ini dikaitkan dengan rangkaian Gerakan Pemuda Kahfi di Bogor, Indonesia yang diterajui oleh Ahmad Musodiq. Ajaran itu dipercayai berpusat di Cilimus Kuningan, Kota Cirebon, di Jawa Barat Indonesia yang diketuai oleh Zubaedi Djawahir.

"Mereka meyakini ajaran itu adalah ajaran yang lurus lagi benar setelah jatuhnya Kerajaan Islam Abbasiyah, manakala Islam yang diamalkan pada hari ini adalah palsu. Dakwaan itu mengakibatkan sesiapa sahaja selain daripada pengikutnya menjadi sesat.

"Baru-baru ini, ajaran sesat ini turut mengambil kesempatan meluaskan propaganda melalui media sosial seperti kelas al-Quran secara dalam talian," demikian kenyataan itu, hari ini.

Pada 17 September 2015, fatwa yang diwartakan menegaskan beberapa perkara berhubung ajaran itu, antaranya agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berakhir sejak kejatuhan kerajaan Islam dan diganti dengan agama baru iaitu Millah Abraham@Ibrahim.

"Menggelar mereka yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham@Ibrahim sebagai sesat, kafir dan syirik serta wajib bertaubat dengan ajaran Millah Abraham@Ibrahim.

"Kumpulan ajaran sesat itu juga menafikan kefardhuan solat lima waktu dan solat Jumaat, selain mewajibkan bai'ah dan berpegang dengan bai'ah.

"Mereka terlalu taksub dengan dakyah sehingga sanggup membuang keluarga, ibu bapa, isteri dan lain-lain hanya kerana tidak mengikut Millah Abraham @ Ibrahim ini, malah menggabungkan kitab suci tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi," katanya.

Selain itu, ajaran ini menyasarkan golongan muda sebagai wadah untuk dakyah yang dibawa serta mempunyai unsur militan yang sesat dan membahayakan.

"Kumpulan ini juga bersolat melalui penyampaian makna dalam Bahasa Melayu selain tidak berpegang kepada Hadis Nabi (Muhammad) SAW," katanya.

Menurut Mais, kelicikan gerakan Millah Abraham@Ibrahim yang berterusan ini mampu mengancam keselamatan negara, malah memberi implikasi kepada sifat taksub melampau dan fenomena takfir iaitu kafir mengkafirkan dalam kalangan masyarakat Islam.

Justeru itu katanya, kerjasama dan tindakan bersepadu pihak berkuasa agama bersama dengan pelbagai agensi kerajaan termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlu diperkukuhkan lagi.

"Ini bertujuan memantau gerakan Millah Abraham@Ibrahim dan kumpulan ajaran sesat lain yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan dan menggugat ketenteraman awam.

"Tindakan tegas terhadap pengikut dan pemimpin gerakan Millah Abraham@Ibrahim dan kumpulan-kumpulan ajaran sesat lain yang terbabit perlu dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 dan Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: