"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bapa didakwa bunuh, simbah anak dengan air panas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang tukang kasut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didakwa membunuh anak perempuan sulungnya berusia sembilan tahun dan menyimbah seorang lagi anaknya dengan air panas menggelegak daripada cerek sehingga melecur di bahu dan lutut, 9 Dis lalu.

Tertuduh, Mohd Yasin Halik, turut didakwa menyimbah teman wanitanya warga Indonesia yang ketika itu sedang tidur, dengan air panas sehingga mangsa melecur bahagian punggung, lapor Berita Harian.

Kedua-dua anak perempuannya yang berusia sembilan dan enam tahun itu juga adalah warga Indonesia hasil bersekedudukan dengan teman wanitanya dikenali sebagai Suma itu.

Pada prosiding itu, tertuduh hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan membunuh anak perempuannya dalam kejadian 9 malam di sebuah rumah di Jalan Pudu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Wong Chai Sia menetapkan pada 21 Feb bagi sebutan semula kes.

Manakala bagi tuduhan mencederakan teman wanita pula yang didakwa dilakukan di tempat sama 1 pagi 8 Dis lalu, Wong menjatuhkan hukuman penjara empat bulan selepas tertuduh selepas mengaku salah.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum tiga tahun penjara atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Di Mahkamah Sesyen pula, tertuduh turut mengaku salah menyimbah air panas ke atas anak bongsunya berusia enam tahun enam bulan pada 1 Dis lalu.

Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 9 Jan ini bagi jatuh hukum.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya B Sareeka dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mengendalikan pendakwaan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bapa ditahan polis kerana disyaki mendera anaknya sehingga mati sebelum menanam mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah tempat riadah, bagi menyembunyikan jenayahnya.

Perbuatan kejam itu terbongkar selepas polis menerima aduan teman wanita suspek, yang memaklumkan anak perempuannya berusia sembilan tahun didera oleh teman lelakinya.

Teman wanita suspek yang juga seorang warga asing berusia 41 tahun, membuat laporan selepas mendapati anak yang berusia sembilan tahun dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulutnya, sebaik pulang bekerja.

Tiada ulasan: