"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Nazrin: Ambil tindakan tegas pandangan ekstrem kaum, agama,

FMT Reporters

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama, berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan.

“Tindakan tegas wajib diambil segera untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada secara ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum,” titah baginda yang dipetik Bernama ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Baginda bertitah, penduduk Perak berjumlah 2.52 juta orang terdiri daripada tiga kaum terbesar iaitu 61.5% berbangsa Melayu dan Bumiputera, 26.7% bangsa Cina dan 11.3% India yang mengamalkan pegangan agama berlainan, mewarisi budaya yang beraneka dan menguasai pelbagai bahasa.

Sultan Nazrin juga menitahkan pemimpin kerajaan negeri yang dilantik supaya menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan ikhlas, jujur, adil dan saksama berlandaskan Perlembagaan serta berteraskan undang-undang.

Baginda bertitah, mereka hendaklah bersifat adil mengagihkan peruntukan dan melaksanakan program pembangunan secara saksama tanpa prejudis, diskriminasi dan penindasan kepada mana-mana pihak.

“Oleh itu, rakyat jangan dihukum untuk menanggung kesusahan, di sebaliknya dengan menjunjung semangat demokrasi, kepentingan dan kebajikan setiap rakyat jelata hendaklah berada di hati pemimpin dan senantiasa diutamakan,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, kestabilan politik merupakan penentu kepada pemulihan serta pembangunan ekonomi dan kerajaan baginda akan berusaha memastikan ekosistem politik berada dalam keadaan yang stabil.

“Rakyat memerlukan tadbir urus ekonomi yang cekap untuk membolehkan kegiatan ekonomi kembali rancak. Rakyat mahukan kerajaan yang bijak mengurus sumber-sumber negeri, dan tegas mengawal ketirisan dan kebocoran sumber, serta bersungguh mengelakkan pembaziran.

“Rakyat mahukan urus tadbir yang telus dan amanah serta bebas daripada perbuatan pecah amanah dan perlakuan rasuah,” titah baginda.

Justeru, Sultan Nazrin bertitah amatlah penting untuk kerajaan Perak mendengar dan memahami keresahan yang sedang dihadapi rakyat, antaranya pengangguran, kos sara hidup yang tinggi, jaminan bekalan dan keselamatan makanan, kelestarian alam sekitar serta kemudahan-kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan serta perhubungan awam dan komunikasi digital yang berkualiti.

“Oleh itu, kerajaan Beta akan memikirkan langkah-langkah strategik bersama kerajaan persekutuan untuk mewujudkan iklim pelaburan yang meyakinkan semoga dapat menambah peluang pekerjaan, menangani kos sara hidup rakyat, serta mengikhtiarkan langkah yang dapat menjamin bekalan dan keselamatan makanan, juga menambah baik kemudahan-kemudahan sosial dan perkhidmatan,” titah baginda.

Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu dan situasi negara sedang menghadapi bebanan hutang yang tinggi, Sultan Nazrin mahu agar perbelanjaan negeri memberikan fokus kepada perkara-perkara yang menghasilkan manfaat langsung kepada rakyat di samping melaksanakan secara bersungguh langkah berjimat cermat dan menghentikan perbelanjaan berunsur pembaziran.

“Kerajaan Beta akan mengambil ingatan mesej utama rakyat semasa pilihan raya umum ke-15 yang menolak amalan rasuah, ketirisan kewangan, salah guna kuasa dan perbuatan pecah amanah,” titah baginda.

Tiada ulasan: