"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banjir kilat dijangka landa 6 negeri dalam tempoh 24 jam

Bernama

KUALA LUMPUR: Banjir kilat dijangka melanda Johor, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Sabah dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan, menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Berdasarkan notis yang dikeluarkan 7 pagi ini, kawasan terlibat di Johor termasuk Kota Tinggi sekitar Sedili Kechil dan Ulu sungai Sedili Besar, Muar (Bandar, Bandar Maharani dan Jalan Bakri) serta Mersing (Bandar Padang Endau).

Di Pahang, tiga daerah terlibat, iaitu Kuantan sekitar Bandar Kuantan, Hulu Kuantan, Kuala Kuantan, Pulau Manis dan Sungai Karang, Maran (Pekan) serta Pekan (Bebar, Pekan dan Langgar).

Sementara itu, di Perak, dua daerah dan kawasan sekitar yang dijangka terjejas ialah Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat) dan Hilir Perak (Durian Sebatang) manakala di Selangor membabitkan Klang.

Bagi Terengganu pula, kawasan diramal terjejas termasuk Marang (Bukit Payung) dan Kuala Terengganu (Batu Buruk, Chendering dan Kuala Terengganu), manakala di Sabah, Tuaran (Kampung Berungis dan Pekan Tenghilan).

Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut.

Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir, dan melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk mendapatkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan: