"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dosa tidak mengundi, dosa beri rasuah mengundi? Apa jawapan Hadi

AMIRUL AZHAN

Dosa tidak keluar mengundi kerana menunaikan haji yang tular dari kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang masih bermain di media sosial.

Bagi pemimpin PKR Terengganu, Azan Ismail beliau mempunyai sudut pandang lain.

Katanya Presiden Pas sepatutnya tidak terhad komen kepada isu berdosa tidak mengundi tetapi juga perlu menjawab isu pengundi dipaksa bersumpah dengan nama Allah dan diberi duit untuk mengundi Pas – PN dalam pilihanraya lalu.

“Hadi kena jawab dahulu mana yang lebih berdosa antara jemaah haji atau umrah tidak mengundi atau guna sumpah dengan nama Allah dan kemudian dapat duit untuk Pas raih undi.

“Mana yang lebih mustahak besar dosanya kerana isu ini melibatkan penyelewengan akidah umat Islam.

“Beliau (Hadi) kena buat penjelasan kepada rakyat Malaysia kerana ia perbuatan rasuah pengundi, dan jauh lebih besar mudaratnya,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Terdahulu semasa PRU15, tular video menunjukkan beberapa individu didakwa diminta bersumpah dengan nama Allah bahawa mereka mengundi Pas sebelum diberikan bayaran tambang perjalanan pulang mengundi walaupun telah dinafikan Pas Kelantan.

Tambahnya, video ini sudah banyak tersebar sehingga hari ini boleh ditonton dan ternyata dakwaan Pas menggunakan duit untuk mendapatkan undi berasas.

Lanjutan daripada isu dosa tidak mengundi kerana menunaikan haji, Azan menggesa agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan pendapat mahupun mengambil tindakan di atas kenyataan-kenyataan Presiden Pas itu yang dianggap keterlaluan.

Ujarnya lagi, ini bukan kali pertama pemimpin Pas itu mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Tiada ulasan: