"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Tanah air ini untuk semua rakyat Malaysia tapi ada ulama sibuk lagakan Melayu dengan bukan Melayu’

MAISARAH AISYA

Seorang penyokong Pakatan Harapan (PH) dikenali sebagai Muhammad Najib memberi peringatan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa negara ini adalah tanah air untuk semua rakyat Malaysia dan bukannya untuk Melayu sahaja.

Muhammad Najib yang dikatakan sebagai ahli DAP itu mengakui terkesan dengan penulisan Hadi semalam yang menyentuh tentang pengundi beragama Islam telah melakukan dosa besar kerana “berundur ketika musuh mara menentang Islam”.

Beliau mengingatkan Hadi bahawa DAP bukanlah musuh Islam seperti yang didakwa kerana jika benar, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak akan berdiam diri.

Najib turut menyatakan rasa malu dengan tuduhan tersebut kerana pada saat negeri diperintah Pas ditimpa musibah banjir, Hadi masih lagi mahu berpolitik dan menabur fitnah.

“Malaysia ini negara kita bersama dan kita bersaudara sebagai warganegara, tetapi ada seorang pemimpin yang juga kononnya ulama asyik sibuk melagakan Melayu lawan bukan Melayu, Islam lawan bukan Islam bahkan sampai sanggup menyebut tentang berperang antara satu sama lain,” katanya lagi.

Kami kongsikan nukilan penuh Muhammad Najib seperti di bawah

Pagi tadi semasa memulakan hari ini, saya terbaca Tweet tulisan Abdul Hadi Awang tentang artikel bertajuk “Surat Terbuka Kepada Jemaah Haji Dan Umrah Yang Tidak Mengundi”.

Hadi tulis, 98% bukan Islam dari seluruh pelosok dunia dikerah mengundi untuk mendapatkan kuasa di tanah air kita dengan menyokong DAP dan kumpulannya.

Kemudian, Hadi salahkan pengundi beragama Islam yang hanya 60% keluar mengundi kerana ada yang lebih utamakan ibadat haji dan umrah dari mengundi.

Pengundi beragama Islam ini dibimbangi telah melakukan dosa besar kerana “berundur ketika musuh mara menentang Islam”.

Sebagai orang Melayu beragama Islam yang merupakan ahli DAP dan menyokong Pakatan Harapan, saya terkesan dengan tulisan ini.

Ini kerana DAP adalah sebuah parti politik yang sah dan ‘tanah air kita’ yang ditulis oleh Hadi adalah juga tanah air milik bersama rakyat bukan Melayu dan bukan Islam.

DAP juga bukan musuh Islam seperti yang didakwa, adalah pelik bin ajaib jika benar DAP ini musuh Islam kenapa YDPA, Majlis Raja-Raja, PDRM atau ATM semuanya berdiam diri tidak berbuat apa?

Tapi Hadi lebih suka menabur fitnah dan mencipta persepsi untuk melaga-lagakan rakyat Melayu Islam dengan rakyat bukan Melayu Islam yang hidup dalam satu negara.

Sayangnya Hadi buat semua ini ketika dua negeri yang diperintah partinya iaitu Pas ditimpa musibah bencana dan rakyatnya sedang bergelut dengan banjir yang memusnahkan harta dan nyawa.

Kalau tadi sebagai ahli DAP dan penyokong PH saya terasa dengan tulisan Hadi, kali ini sebagai seorang Melayu beragama Islam saya pula berasa malu dengan tulisan Hadi.

Seorang pemimpin berbangsa Melayu beragama Islam lebih mengutamakan permainan politik ketika negerinya sendiri dilanda bencana banjir.

Tak malukah kita yang berbangsa Melayu dan beragama Islam bila tulisan Hadi dibaca oleh rakyat berbangsa dan beragama lain?

Malaysia ini negara kita bersama dan kita bersaudara sebagai warganegara, tetapi ada seorang pemimpin yang juga kononnya ulamak asyik sibuk melagakan Melayu lawan bukan Melayu, Islam lawan bukan Islam bahkan sampai sanggup menyebut tentang berperang antara satu sama lain.

Mujurlah, kekecewaan membaca tulisan Hadi pagi tadi akhirnya diubati dengan perkembangan lewat petang yang mengingatkan kita semua bersaudara dalam negara ini.

Seperti bagaimana Anwar Ibrahim melawat Kelantan dan Terengganu lalu mengumumkan bantuan sebanyak RM100 juta kepada kedua negeri ini walaupun berbeza parti politik.

Ataupun isteri PM yang sudi meluangkan masa menziarahi keluarga di Kelantan yang baru-baru ini kehilangan tiga beradik perempuan akibat renjatan elektrik ketika banjir.

Hal-hal ini yang akan membantu kita memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang antara satu sama lain dan inilah yang dituntut oleh agama Islam.

Bukannya sikap yang membawa kepada perpecahan dan permusuhan hingga mengancam perpaduan negara kerana politik sempit.

Bak kata Anwar sendiri ketika dalam lawatannya di Kelantan, “Tanggungjawab saya selepas diberi amanah adalah mengurus dengan baik tanpa mengira negeri mana”.

Tiada ulasan: