"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya mahu menegur ketika ramai tak sanggup kritik Anwar'

Mary Victoria Dass

am@hmetro.com.my

Pasir Gudang: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak berhasrat meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila menghasilkan tiga puisi kontroversi baru-baru ini yang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, puisi-puisi berkenaan yang ditujukan khas kepada Anwar adalah teguran secara berhemah terhadap Presiden PKR kerana tiada saluran untuk berbuat demikian dalam parti disebabkan tiada jawatan dalam PKR.

Menurutnya yang juga bekas Pengerusi PKR Johor, puisi-puisi dihasilkannya bukan bermaksud mahu menentang kepimpinan Kerajaan Perpaduan tetapi itu adalah cara beliau menegur dalam keadaan semua pemimpin PKR mendiamkan diri.

"Niat saya mahu menegur ketika ramai orang tak sanggup menegur dan kritik Anwar.

"Tidak apalah saya dimarahi segelintir pemimpin dan menteri daripada PKR tetapi sehingga kini saya tidak dengar Anwar suarakan rasa marah atau kecewa berkenaan perkara terbabit.

"Anwar boleh terima (puisi-puisi mengkritiknya) kerana selain disiarkan dalam Facebook (FB) saya, saya juga hantar puisi itu menerusi aplikasi WhatsApp dan orang pertama yang saya hantar adalah kepada Anwar.

"Sekurang-kurangnya dia tahu seseorang bercakap (mengkritiknya)," katanya.

Hassan berkata, tujuannya adalah mahu ingatkan Perdana Menteri agar tidak lari daripada perjuangan asal.

"Terpaksa bercakap jujur walaupun ramai kawan minta saya bersabar," katanya pada lawatan kerja sempena persaraan Ketua Balai Bomba Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang di sini, hari ini.

Pada 5, 14 dan 18 Disember lalu Hassan menghasilkan tiga puisi bertajuk Ku Simpan Risalah Reformasi di Dalam Peti, Kuasa Mengubah Segala-galanya dan Satu Deklarasi yang mengkritik Anwar, dimuat naik dalam FB miliknya.

Beliau mengkritik secara berkias Anwar serta PKR yang sanggup menggadai prinsip dan perjuangan asal parti demi kuasa selain mempersoalkan perjanjian persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan gabungan parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, berasa lega apabila dapat meluahkan tegurannya menerusi puisi dan ramai pihak membuat pelbagai tafsiran daripada bait-bait puisinya tetapi masih tidak 'lari' maknanya daripada konteks atau mesej asal yang ingin disampaikan kepada Anwar.

"Sebelum ini saya menghasilkan sajak-sajak reformasi untuk Anwar semasa saya menjadi Ketua Pemuda Parti Rakyat Malaysia (PRM).

"Saya sokong perjuangan Anwar sejak zaman PRM, sebelum PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) pada 2001 menjadi PKR. Menerusi puisi terakhir, saya nyatakan rela 'dipancung'.

"Ini adalah bahasa puisi yang bermakna rela dikenakan tindakan disiplin kerana melawan arus dan mengeluarkan kenyataan yang selalu berbeza dengan pucuk pimpinan parti," katanya.

Tiada ulasan: