"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nampak kaki mangsa ketika korek tanam bangkai anjing

Noor Atiqah Sulaiman

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Batang Kali: "Kami nak tanam bangkai anjing, tetapi masa jengkaut korek tanah nampak ada kaki," kata Syahmi Wafiq, 24.

Beliau ialah salah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini.

Mengulas lanjut mengenai penemuan mayat ke-26 itu, Syahmi menyifatkan penemuan mayat berkenaan sebagai kebetulan.

"Kami mahu menanam anjing yang ditemui di kawasan berkenaan kerana ia mula berbau, jadi kami memerlukan jengkaut untuk menggali tempat berkenaan.

"Selepas menggali, kami ternampak ada kaki terkeluar dari tanah dan ketika itulah kami menyedari ada mangsa di situ.

"Anjing yang ingin ditanam itu ditemui berhampiran mayat, manakala mangsa pula dilihat memeluk seekor lagi anjing,"katanya.

Sebelum ini, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor memaklumkan penemuan mayat lelaki dewasa bersama anjingnya itu ditemui pada jam 11.16 pagi tadi di sektor B (Farmview) dengan kedalaman lebih empat meter dari aras tanah.

Dalam pada itu, Syahmi memaklumkan sudah tentu penemuan mayat sejak hari pertama SAR dilaksanakan adalah pengalaman yang menyeramkan baginya.

Namun itu adalah tanggungjawab yang harus dipikul selepas memilih bomba sebagai kerjayanya.

"Sudah tentu meremang setiap kali ada penemuan mayat di lokasi, tetapi bila saya memakai seragam sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjalankan tugas.

"Ini adalah tahun keempat saya berkhidmat dalam unit ini dan sudah menyertai banyak misi menyelamat terutamanya ketika negara dilanda banjir," katanya.

Tiada ulasan: