"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Ahli Parlimen bebas mengundi kecuali berkait keabsahan kerajaan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Semua Ahli Parlimen dari parti menyokong kerajaan perpaduan bebas mengundi berdasarkan pandangan masing-masing, kecuali dalam perkara berkaitan keabsahan kerajaan, tegas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau yang juga menteri ekonomi, berkata antara undian berkait keabsahan kerajaan termasuk usul undi percaya terhadap perdana menteri dan undian perbekalan.

“Sebenarnya 148 Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan Malaysia ini adalah bebas untuk mengundi mengikut kepakaran dan pandangan sendiri.

“Kecuali dalam perkara berkaitan keabsahan kerajaan seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Malaysia dan Akta Lompat-Parti. Itu memang undang-undang pun. Dan itu tidak tertakluk dalam fasa empat dalam perjanjian ini,” katanya menerusi rakaman video di Tiktok.

Tambahnya, perjanjian dimeterai itu jauh lebih demokratik berbanding pemerintahan sebelum itu, termasuk ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

“Ketika Muhyiddin pimpin dahulu, apabila nampak dia sudah hilang majoriti dia menggunakan kuasa darurat untuk memerintah tanpa cuba untuk mengesahkan sokongan majoriti di Parlimen pun.

“Agak lawak satu reaksinya daripada pertikaian PN kononnya perjanjian yang dimeterai suatu langkah ke arah kewujudan ‘diktator’ di bawah pemerintahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.

Semalam, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (parlimen dan undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin, mengecam memorandum persefahaman (MoU) Perjanjian Persefahaman Kerjasama menyokong kerajaan perpaduan diterajui Anwar.

Beliau menyifatkannya sebagai satu permulaan kepada pemerintahan ‘ala diktator’.

Tambahnya, Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan mutlak kepada mana-mana Ahli Parlimen yang telah dipilih untuk mengundi sebagaimana dirasakan betul demi kepentingan pengundi.

Selain Anwar, MoU semalam itu turut ditandatangani Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor dan Presiden Warisan Shafie Apdal. Ia juga ditandatangani oleh setiausaha agung parti masing-masing.

Tiada ulasan: