"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita maut dihempap pokok

FMT Reporters

Bomba bertindak memotong pokok itu menggunakan gergaji berantai bagi mengeluarkan mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang wanita maut selepas rumahnya dihempap sebatang pokok ara yang tumbang dalam kejadian di Kampung Laut Kinarut, Papar, Sabah, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara, berkata mangsa Katizah Juani, 55, meninggal dunia akibat kecederaan parah dialaminya dalam kejadian kira-kira 3 petang.

“Apabila sampai ke lokasi anggota mendapati sebatang pokok ara tumbang serta merosakkan tiga rumah di kampung itu,” katanya menurut Bernama.

Misran berkata, pasukan bomba bertindak memotong pokok itu menggunakan gergaji berantai bagi mengeluarkan Katizah yang dihempap pokok berkenaan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada 5.29 petang selepas bomba memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya.

Kejadian itu berlaku ketika cuaca buruk termasuk hujan lebat melanda beberapa kawasan di Sabah petang tadi.

Sementara itu, Misran berkata pertembungan air pasang dengan hujan lebat berterusan mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Tanjung Lipat, termasuk Jalan Tun Fuad Stephen yang terletak di tepi pantai, yang merupakan antara jalan utama di bandar raya berkenaan.

Beliau berkata, jalan itu ketika ini hanya boleh dilalui kenderaan berat dan menasihatkan pengguna supaya melalui jalan alternatif.

Tiada ulasan: