"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wartawan Pakistan dalam pelarian hilang di KL, kata isteri

Predeep Nambiar
Wartawan, Syed Fawad Ali Shah, dari Pakistan yang tinggal di Malaysia sebagai pelarian dikatakan hilang sejak Ogos.

PETALING JAYA: Seorang wartawan, Syed Fawad Ali Shah, dari Pakistan yang tinggal di Malaysia sebagai pelarian sejak lebih 10 tahun lalu dikatakan hilang sejak Ogos, kata isterinya.

Fawad, 41, dalam temubual dengan FMT sebelum ini mendakwa dia pernah ditahan pihak berkuasa Pakistan pada 2008 kerana menulis tentang kehilangan paksa, dan melarikan diri ke Malaysia bagi mengelak penganiayaan di negara sendiri.

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Syeda, dia tidak tahu di mana suaminya berada sejak 23 Ogos. Katanya lagi, dia dan kawan-kawan Fawad ada membuat laporan polis berhubung kehilangan wartawan itu.

Syeda berkata dia terbang ke Kuala Lumpur untuk mencari suaminya. Wanita itu tidak percaya pihak berkuasa Malaysia menghantar Fawad pulang kerana tidak ada berita tentang kepulangannya di Pakistan.

“Tunjukkan bukti suami saya dihantar pulang. Apa jenayah yang sudah dia lakukan hingga dia perlu dihantar pulang dan kenapa dia belum temui keluarganya lagi?

“Saya minta butiran penerbangan yang menunjukkan dia dihantar pulang pada September, tetapi tiada seorang pun di Malaysia yang boleh berikan maklumat itu,” katanya kepada FMT, menerusi perbualan telefon.

Syeda berkata dia dan Fawad berhubung menerusi panggilan video selepas wanita itu pulang ke Pakistan pada Februari 2021. Namun pada penghujung Ogos, Fawad gagal dihubungi.

“Bila saya hantar pesanan ringkas ke nombor dia, saya hanya dapat tanda biru. Selepas hantar beberapa lagi pesanan, saya dapat mesej meminta saya jangan hubungi dia lagi,” kata Syeda.

“Si Fawad bukan macam itu orangnya. Selepas itu telefonnya ditutup,” tambahnya.

Syeda merayu pihak berkuasa mencari suaminya.

Wanita itu memaklumkan Fawad sebenarnya menunggu penempatan semula ke negara ketiga, dan UNHCR memberikan status pelarian kepada suaminya.

Fawad dalam temubual FMT sebelum ini mendakwa dia pernah ditahan pihak berkuasa Pakistan selama 18 hari pada 2008, selepas dia mula menyiasat tentang kes orang hilang di negaranya itu.

Dapatan siasatan mendorong wartawan itu untuk percaya bahawa pihak berkuasa Pakistan terbabit dengan kehilangan orang tertentu, yang kebanyakannya dituduh mengintip untuk AS atau India, atau bekerjasama dengan Taliban.

Fawad mendakwa dia ketika ditahan, disoal oleh penyiasat yang membawa fail-fail daripada agensi perisikan Pakistan.

Wartawan itu mendakwa dia kemudian dibebaskan dengan amaran supaya berhenti menulis tentang orang hilang dan bersara daripada bidang kewartawanan.

FMT sudah menghubungi polis berhubung kehilangan Fawad.

Tiada ulasan: