"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 kejayaan DSAI selama sebulan. Mampukah anda menahan diri?

CAMELIA K

Tanggal 24 November 2022, merupakan satu tarikh bersejarah buat rakyat Malaysia apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Pelantikan ini sekaligus menamatkan penantian selama 24 tahun bukan sahaja buat Anwar Ibrahim, malah buat para pendokong gerakan reformasi di Malaysia.

Bukan itu sahaja, pelantikan ini juga diharapkan mampu memberi sinar baharu buat rakyat Malaysia yang kini dihimpit dengan isu tekanan kos sara hidup yang semakin membarah.

Jadi, tidak hairanlah mengapa ramai yang tertunggu-tunggu dasar dan tindakan yang bakal dilakukan oleh barisan Kabinet Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Memandangkan telah genap sebulan selepas Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri yang disaksikan oleh jutaan rakyat Malaysia yang mendambakan perubahan, mari kita imbas kembali sebulan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

1 Meneruskan usaha martabat agama Islam, hak bumiputera dan Bahasa Malaysia

Dalam ucapan sulung selepas mengangkat sumpah, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan bawah pimpinannya akan meneruskan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia dan agama Islam di Malaysia. Beliau juga akan mengangkat hak bumiputera dan kedaulatan Raja-Raja Melayu seperti yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan.

2 Fokus isu kos sara hidup rakyat

Perdana Menteri menegaskan bahawa isu kos sara hidup menjadi fokus utama beliau terutamanya harga barang yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat. Buktinya, Anwar sendiri telah mengadakan mesyuarat dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk membincangkan isu ini pada hari ketiga selepas mengangkat sumpah.

3 Tolak gaji, elaun PM dan kereta mewah

Seperti yang dijanjikan dalam sesi ceramah dan kempen, Anwar Ibrahim telah menunaikan janjinya untuk menolak gaji, elaun sebagai Perdana Menteri dan penggunaan kereta mewah kerajaan. Menurutnya, ia adalah langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan.

4 Potong 20% gaji menteri

Jemaah Menteri Kabinet Perpaduan juga bersetuju untuk menerima potongan gaji sebanyak 20% setiap bulan atas tanda keprihatinan kepada rakyat yang sedang dihimpit teknanan ekonomi.

5 Nilai ringgit semakin pulih

Nilai ringgit melonjak naik 1.8 peratus ke paras tertingginya dalam tempoh dua bulan berbanding dolar Amerika susulan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia yang seterusnya meredakan ketidakpastian politik negara.

6 Hentikan amalan “direct tender”

Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada sesi perhimpunan bulanan bersama penjawat awam di Putrajaya menegaskan supaya tata kelola pentadbiran kerajaan baharu tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender di semua peringkat. Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan mengizinkan sebarang kebocoran, ketirisan dan rasuah dari terus berleluasa.

7 Tidak menaikkan tarif elektrik

Baru-baru ini, kerajaan memberi jaminan untuk tidak akan menaikkan tarif elektrik terhadap rakyat untuk mengurangkan beban rakyat, biarpun jumlah keseluruhan kos subsidi bahan api itu yang bakal ditanggung oleh kerajaan mencecah RM30 billion.

8 Menamakan Kabinet Perpaduan dan berjaya mendapatkan undi percaya

Anwar Ibrahim telah menamakan senarai ahli Kabinet Kerajaan Perpaduan dan beliau juga seterusnya telah membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10 dengan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dalam usul percaya pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15. Usul tersebut sekaligus telah memperkukuhkan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

9 Bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh

Negara diuji dengan tragedi bencana alam yang amat memilukan menjelang berkahirnya tahun 2022 ini. Bagi tragedi Tanah Runtuh Batang Kali, Kerajaan Perpaduan telah memberikan bantuan berjumlah RM10,000 kepada mangsa terkorban dan RM1,000 untuk mangsa yang terlibat. Manakala bagi bencana banjir yang menimpa Kelantan dan Terengganu, Perdana Menteri telah mengumumkan bantuan banjir berjumlah RM100 juta untuk penduduk Pantai Timur yang terjejas.

10 Cabutan khas judi diturunkan daripada 22 kali kepada 8 kali

Anwar Ibrahim memutuskan untuk menurunkan cabutan khas atau istimewa nombor ramalan empat digit (4D) kepada lapan kali setahun berbanding 22 kali pada era pemerintahan kerajaan terdahulu. Untuk rekod, kerajaan Pakatan Harapan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu telah menurunkan kekerapan cabutan khas menjadi 11 kali pada 2019 sebelum dikurangkan lagi kepada lapan kali pada 2020. Namun, ia telah dinaikkan menjadi 22 kali sepanjang tahun 2021 semasa pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional.

Ini hanyalah permulaan. Perjalanan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim masih panjang dan diharapkan lebih banyak lagi dasar dan usaha bagi membela dan menaikkan taraf hidup rakyat bakal dilaksanakan.

Tiada ulasan: